BUKIT GANTANG – Peruntukan sebanyak RM7 juta telah diluluskan oleh kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang akan datang.
Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pihaknya kini dalam proses membuat pembelian stok ikan beku dari pihak swasta untuk dijadikan stok simpanan LKIM bagi menampung kekurangan bekalan ikan pada musim tengkujuh nanti.
“LKIM dijangka akan membuat pembelian untuk simpanan sejuk beku sebanyak 1,000 tan metrik bagi membantu meringankan beban rakyat.
“Pada masa sekarang, pendaratan ikan mulai berkurangan dan kita belum mempunyai stok sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.
Menurutnya, melalui peruntukan yang diluluskan itu, LKIM kini dalam proses pembelian stok ikan dari pihak swasta untuk dijadikan stok sendiri dan akan dikeluarkan pada musim tengkujuh nanti bagi memenuhi permintaan rakyat.- KOSMO! ONLINE