PETALING JAYA – Seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan bogel di tengah bandar Melaka.
Berdasarkan perkongsian video oleh pengguna Facebook yang dikenali sebagai Mark Mah itu memaparkan seorang lelaki dengan santai menunggang motosikal tanpa seurat benang yang dipercayai berlaku di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin berhampiran Taman Semabok Perdana.
Hantaran video yang berdurasi 10 saat itu telah tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi dan respon daripada netizen.
Rata-rata netizen menzahirkan rasa risau dan khuatir dengan keadaan kesihatan mental lelaki tersebut.
“Saya pernah terserempak dengan dia beberapa kali. Malu bila ternampak aurat dia. Takkan nak biarkan lama-lama macam ni? Pihak berkuasa kena ambil tindakan,” komen seorang netizen.
“Nampak macam tak waras. Risau apa-apa berlaku kepada dia selepas video ni tular,” tulis seorang lagi netizen.
Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang meninggalkan komen sinis mengatakan lelaki tersebut terlalu panas dan ingin meredakan kepanasan serta ingin meninjau kawasan.
“Hari ini cuaca terlalu panas. Cara ini akan redakan kepanasan,” tulis seorang netizen.
“Meninjau kawasan ke YB?,” komen netizen yang lainnya.
Setakat ini, video tular itu telah meraih 442 tanda suka dengan lebih 5,000 perkongsian. – KOSMO! ONLINE