KUALA LUMPUR – Kayuhan berbasikal lebuh raya, RHB Lekas Highway Ride 2022 malam esok dijangka mendapat sambutan luar biasa selepas dua tahun tidak dapat diadakan berikutan pandemik Covid-19.
Hampir 6,000 peserta bakal menyertai perlumbaan edisi ketujuh kali ini sekali gus mencatatkan jumlah penyertaan paling ramai sejak ia dianjurkan.
Pengarah Perlumbaan Gosportz Sdn. Bhd., Albertt Leong berkata, pihak penganjur sudah melakukan segala persiapan rapi dan bersedia untuk menerima kehadiran peserta.
“Setiap peserta menanti-nantikan penganjuran RHB Lekas Highway Ride 2022 kali ini kerana sudah dua tahun ia tidak dianjurkan. Apabila pendaftaran di buka sebelum ini, sambutannya sangat menggalakkan.
“Ia adalah satu acara yang sangat istimewa kerana Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) akan ditutup sepenuhnya semata-mata memberi ruang kepada peserta berkayuh di atas lebuh raya.
“Lebih menarik apabila acara ini diadakan pada sebelah malam di mana pihak Lekas sudah mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk memasang lampu yang lebih terang di sepanjang lebuh raya.
“Boleh dikatakan ini adalah penganjuran perlumbaan berbasikal pada sebelah malam yang terbesar di Malaysia dan itu sudah menunjukkan betapa perlumbaan ini sangat istimewa,” katanya.
Sebanyak empat kategori ditawarkan pada edisi kali ini iaitu 120 kilometer (km), 78km, 17km dan 12km.
Satu kategori bagi kanak-kanak berusia antara dua hingga lapan tahun juga diadakan bagi memberi inspirasi kepada mereka meminati sukan berbasikal sekali gus mewakili negara pada masa depan.
Pihak penganjur juga menyediakan hadiah yang menarik kepada para peserta dan setiap daripada mereka berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.
“Hadiah bukan menjadi keutamaan. Kami mahu menerapkan amalan gaya hidup sihat kepada setiap peserta dan memberi peluang kepada mereka pengalaman berkayuh di lebuh raya tanpa gangguan trafik,” jelas Albertt.
Setiap peserta dinasihatkan untuk hadir lebih awal bagi memudahkan urusan pendaftaran serta mengelakkan daripada berdepan perkara tidak diingini.
Penutupan jalan akan bermula pada pukul 5 petang esok sehingga 4 pagi keesokannya dari Persimpangan Kajang Selatan hingga ke Persimpangan Paroi. – KOSMO! ONLINE