KEBERADAAN kumpulan duo dalam negara ini lebih-lebih lagi penyanyi lelaki boleh dikira dengan jari.
Selepas Azhael membawa haluan masing-masing beberapa tahun lalu, duo yang memperkenalkan nama sebagai ZAKH muncul sebagai pelapis sekali gus merancakkan dunia hiburan tempatan.
ZAKH yang dianggotai dua anak muda bernama Zul Ariff dan Kamal Hamidi memberanikan langkah memulakan kerjaya seni mereka ketika negara sedang dilanda pandemik.
Bermula dengan sebuah projek eksperimentasi dan suka-suka, Zul dan Kamal berkolaboratif menghasilkan naskhah Cinta Semalam sekitar Februari lalu.
Benar kata orang, kalau kualitinya baik dan memang tertulis rezeki, pasti naskhah tersebut akan diterima serta mendapat sambutan ramai.
Bercerita lanjut, Kamal dan Zul yang hadir ke Studio Media Mulia untuk sesi fotografi baru-baru ini berkata, sambutan memberangsangkan yang diterima ZAKH menyuntik motivasi untuk mereka terus memahat nama.
“Kalau ikutkan saya masuk dalam industri dan ada dua buah single berjudul Saat Aku dan Iya yang merupakan kolaborasi perdana saya bersama Mimi Fly tahun lalu.
“Saya mula kenal Kamal masa awal-awal negara dibadai pandemik sekitar 2020. Bermula dari situ, kami mula rapat dan banyak kongsi idea dalam muzik.
“Dia sendiri pun memang ada latar belakang sebagai penyanyi solo dan ada juga single berjudul Selagi Nafas dan Terbuai Perasaan,” kata Zul.
Bulat tekad
Sementara itu, Kamal pula menyifatkan pertemuannya dengan Zul merupakan satu indikasi untuk dia terus melangkah dalam arena seni suara memandangkan pernah sepi seketika bermula 2019.
“Kali terakhir saya keluar single solo iaitu Terbuai Perasaan sekitar 2019 lalu. Selepas itu saya berhijrah ke Melaka dan kerja di sana sampailah bertemu dengan Zul.
“Kolaborasi kami pada awalnya sekadar suka-suka. Tidak sangka eksperimentasi kami menerusi lagu Cinta Semalam diterima pendengar sehingga membulatkan tekad saya untuk kembali aktif,” ujarnya.
Tambah Kamal, 30, yang merupakan finalis Bintang Remaja Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kedah FM 2013, respons baik untuk lagu tersebut membuatkan mereka terus bersemangat memberikan terbaik menerusi single terbaharu, Jauh.
Mengulas mengenai lagu yang berkisar tentang kehilangan, Zul menyifatkan, Jauh tidak hanya tertumpu tentang definisi cinta semata-mata, namun turut menyelami rasa duka kehilangan insan tersayang.
“Setiap individu pastinya pernah merasai erti kehilangan dan lagu ini kami harapkan dapat diterima penggemar muzik tempatan.
“Alhamdulillah video muzik Jauh yang dijayakan pelakon hebat, Puteri Balqis turut diharap memberikan nilai tambah buat buah tangan terbaharu daripada kami ini,” tuturnya.
Berkongsi sedikit mengenai proses rakaman Jauh, Kamal bersyukur kerana semuanya dipermudahkan sekali gus dapat menimba ilmu memperbaiki mutu nyanyian mereka.
“Gubahan dan susunan lagu dilakukan oleh Iswandy Atan dan Izuan Omar. Semestinya kami yang masih hijau dalam industri berbesar hati kerana proses rakaman membabitkan mereka yang profesional dalam bidang nyanyian.
“Bagi naskhah ini, kami turut mengambil kelas latihan bersama Cikgu Shafi dan Iswandy sendiri bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan itu berjaya dilontarkan sebaiknya,” katanya yang kini bernaung bawah label Universal Music Malaysia.