PASIR GUDANG – Tindakan pemilik sebuah kilang penyaduran logam melakukan pencemaran udara mengundang padah apabila dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan (POK) dalam serbuan oleh sepasukan kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor kelmarin.
Kilang di Tanjung Langsat di sini itu didapati mempunyai alat kawalan udara dan efluen yang tidak berfungsi dan gagal beroperasi dengan baik.
JAS Johor dalam satu kenyataan berkata, tindakan POK dilakukan mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana melakukan pelepasan pencemaran ketara.
“Sebaik menerima laporan, seramai 10 anggota penguat kuasa dari Pasir Gudang telah melakukan pemeriksaan selama 15 jam bermula pukul 10 pagi.
“Pemeriksaan di premis mendapati alat kawalan udara dan efluen di premis berkenaan tidak berfungsi dan gagal beroperasi dengan baik,” kata JAS Johor dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, terdapat kawasan untuk memproses pengeluaran beroperasi tanpa alat kawalan selain bahan buangan terjadual tidak diuruskan dengan betul.
Tambahnya, kesalahan itu dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
“Tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku dan premis diarahkan untuk membaik pulih keadaan premis dan meningkatkan keberkesanan operasi peralatan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, persampelan efluen dan bahan buangan terjadual dari premis itu juga telah dijalankan untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya.
“Semua premis industri adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya dan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku kesalahan mencemarkan alam sekitar,” katanya. -KOSMO! ONLINE