LONDON – Populasi haiwan liar di beberapa kawasan di dunia menjunam sehingga 94 peratus dalam tempoh kurang setengah abad, demikian menurut satu lagi laporan yang menggariskan impak besar krisis perubahan iklim seperti dilaporkan oleh akhbar Metro Uk kelmarin.
Di peringkat global pula, populasi hidupan liar merosot secara purata hampir 70 peratus, demikian menurut kajian berkenaan oleh Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF).
Jika dibandingkan dengan manusia, jumlah itu setara dengan populasi rantau Eropah, Amerika, Afrika, Oceania dan China yang meninggal dunia antara 1970 hingga 2018.
Ahli-ahli pemuliharaan alam sekitar berkata, mereka ‘sudah penat’ menyeru supaya tindakan segera dilakukan untuk menghentikan kemusnahan mendadak alam semula jadi dan kepelbagaian biologi dan memberi amaran: “Kita berada di ambang kemusnahan.”
Risiko kehilangan hutan hujan Amazon dalam tempoh 10 tahun lagi turut mencetuskan kebimbangan, dengan ketua WWF Britain, Tanya Steele memberitahu, ‘tiada tempat selamat di Bumi’ jika hutan Amazon tidak lagi dapat berfungsi sebagai hutan hujan.
Bagaimanapun, WWF menegaskan bahawa masih ada masa untuk mengubah situasi tersebut sekiranya langkah segera diambil dan menyifatkan langkah segera itu sebagai ‘sekarang atau tidak sama sekali’. – Agensi