fbpx

Katarak boleh sebabkan buta sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jika masalah katarak berlanjutan, kanta mata akan menjadi keras dan keruh secara beransur-ansur lalu tidak dapat menerima cahaya sebagaimana yang sepatutnya. – GAMBAR HIASAN

KATARAK merupakan satu masalah mata yang mampu meragut deria penglihatan.

Malah, menurut Malaysia National Eye Survey II, satu daripada setiap empat orang tua atau 26.8 peratus menghidap katarak yang dilaporkan sebagai punca utama masalah kebutaan.

Pakar Perunding Oftalmologi di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Cheong Fook Meng berkata, mata adalah jendela kepada dunia. Maka, bayangkan apabila tingkap itu berkabus, pandangan tentang dunia luar menjadi kabur dan terganggu.

Menurutnya, itulah yang melanda pesakit katarak dan secara semula jadinya ia memang boleh menyebabkan pelbagai jenis gangguan kepada kehidupan seharian mereka.

“Meskipun katarak ialah perkara biasa yang berlaku apabila usia anda meningkat, namun ia juga boleh disebabkan oleh kecederaan mata, penyakit tertentu atau ubat-ubatan.

“Apabila kondisi ini berlanjutan, kanta mata akan menjadi keras dan keruh secara beransur-ansur, lalu tidak dapat menerima cahaya sebagaimana sepatutnya,” katanya.

Tambah Dr. Fook Meng, apabila berlaku, pesakit mula melihat perubahan dalam penglihatan mereka dan kadangkala mereka yang mengalami kes serius akan menjadi buta sepenuhnya.

Dalam pada itu, Dr. Fook Meng berkata, presbiopia merupakan satu lagi kondisi yang boleh dihadapi apabila seseorang itu meningkat usia di mana mata akan kehilangan keupayaan untuk memfokuskan pada objek berdekatan secara beransur-ansur.

Seseorang individu mungkin sedar akan masalah presbiopia apabila mereka mula memegang bahan bacaan pada jarak lengan.

Apabila presbiopia terjadi, kanta di dalam mata akan kehilangan fleksibiliti secara beransur-ansur dan menyebabkan mata sukar untuk memfokuskan cahaya yang dipantulkan daripada objek.

“Mata anda perlu memfokuskan cahaya dengan betul kerana ia melibatkan proses pertukaran cahaya kepada isyarat elektrik dan isyarat ini akan diterima oleh otak untuk memproses imej yang anda lihat.

“Kedua-dua masalah katarak dan presbiopia berlaku kepada kebanyakan individu apabila usia mereka meningkat,” jelasnya.

DR. FOOK MENG

Pun begitu, tambahnya, keadaan ini boleh dirawat melalui pembedahan katarak dan implantasi kanta intraokular (IOL).

Rawatan pembedahan ini membolehkan penyingkiran kanta mata semula jadi yang keruh dan menggantikannya dengan IOL.

Kanta baharu ini jelas, malah ia direka mengikut bentuk mata anda dan disesuaikan khusus mengikut keperluan penglihatan pesakit.

Terdapat beberapa jenis IOL di Malaysia dan pesakit sering mendapati pemilihan jenis IOL adalah terpulang kepada doktor mereka.

Sebaliknya, mereka sebenarnya boleh terlibat dalam proses pemilihan IOL mengikut pilihan mereka.

Terdapat pelbagai pilihan IOL di Malaysia dan ini termasuk kanta monofokal yang membetulkan satu julat penglihatan, lazimnya untuk melihat objek yang jauh. Bagi isu tambahan yang lain, ia perlu diperbaiki mengikut cara lain.

Tambahnya, kanta torik sesuai untuk pesakit yang turut mempunyai astigmatisme tetapi serupa dengan kanta monofokal, ia memulihkan penglihatan untuk satu kawasan tumpuan.

Sementara itu, multifokal IOLs memberikan penglihatan yang jelas untuk penglihatan jauh dan dekat.

Sementara itu, Pakar Perunding Oftalmologi di Pusat Pakar Mata Antarabangsa, Dr. Wong Jun Shyan berkata, dengan kemajuan teknologi pembetulan penglihatan IOL, pembedahan katarak ialah peluang sekali seumur hidup yang boleh mengubah dan memperbaiki kehidupan seharian pesakit.

Menurutnya, oleh itu, adalah penting bagi rakyat Malaysia untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan tentang pilihan IOL mereka.

“Pakar oftalmologi mempunyai kepakaran untuk mengesyorkan IOL yang betul berdasarkan matlamat, keperluan dan kelayakan pesakit untuk mengoptimumkan hasil pembedahan bagi memenuhi jangkaan pesakit.

“Ramai pesakit yang telah memilih IOL multifokal melaporkan bahawa mereka melihat lingkaran cahaya di sekeliling lampu atau mengalami silau,” terangnya.

Tambahnya, isu-isu ini bukanlah isu biasa yang dihadapi pada kanta monofokal.

Bagaimanapun, sesetengah pesakit membuat pilihan tersebut kerana ia mengurangkan kebergantungan mereka pada kanta sentuh dan cermin mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI