JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) merasmikan pelancaran vaksin Covid-19 buatan Indonesia, IndoVac sekali gus menandakan permulaan penggunaannya dalam program vaksinasi kebangsaan, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.
“Hari ini (semalam), saya melancarkan vaksin IndoVac keluaran PT Bio Farma Bandung,” kata Jokowi ketika merasmikan pelancaran vaksin itu.
Dalam ucapannya, Jokowi menganggarkan bahawa pengeluaran vaksin IndoVac di Indonesia untuk tahun 2022 berpotensi mencecah 20 juta dos.
Beliau turut berharap agar jumlah tersebut dapat ditingkatkan pada tahun-tahun berikutnya.
“Mulai hari ini, kita boleh hasilkan vaksin Covid-19 sendiri, jadi kapasiti pengeluaran tahun ini lebih kurang 20 juta. Tahun depan boleh jadi 40 juta,” katanya.
Menurut beliau, Indonesia berkemungkinan menghasilkan sehingga 120 juta dos vaksin IndoVac jika mendapat permintaan yang tinggi. Ia juga akan dieksport ke pelbagai negara.
Vaksin IndoVac dihasilkan oleh PT Bio Farma dan Kolej Perubatan Baylor menggunakan platform subunit protein. Selain itu, Jokowi turut meluluskan vaksin buatan Indonesia, Inavac.
Vaksin IndoVac telah menerima permit penggunaan kecemasan (EUA) daripada Agensi Penyeliaan Makanan dan Dadah (BPOM) pada 28 September lalu. EUA diluluskan untuk individu berusia 18 tahun ke atas. – Agensi