fbpx

Hanya kerana Bilal anak Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

MINGGU ini banyak topik menarik yang mengumpan perhatian netizen dalam media sosial.

Ia bermula dengan program hiburan gandingan dua Sharifah yang memanaskan pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), siaran langsung di YouTube kena hentam dan kisah silam peserta berbakat dari Singapura, Fuad Rahman yang menginsafkan kita semua.

Bagi mereka yang mengikuti rapat mengenai politik pula, pada malam tersebut sudah terdapat ura-ura Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat.

Tidak mahu membiarkan rakyat berteka-teki terlalu lama, pada keesokan harinya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan.

Pengumuman khas itu sudah pasti disambut dengan reaksi berbeza daripada pemimpin parti politik besar.

Ada yang sudah lama memanaskan enjin untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), namun juga pihak yang belum bersedia memandangkan musim tengkujuh sudah hampir.

Belum surut kisah PRU-15, seorang pengguna media sosial pula menuai perhatian netizen apabila membuat naik gambar seorang bayi yang didakwa itu Bilal atau Muhammad Bilal anak kepada selebriti popular Neelofa.

Sebelum ini baik Neelofa mahupun suaminya, Haris Ismail mengambil pendekatan untuk tidak mendedahkan bayi mereka yang lahir pada 29 Januari lalu atas sebab-sebab tertentu. Jadi sudah tentu ramai yang ternanti-nanti untuk melihat wajah penuh bayi itu.

Bagi membalas reaksi mengenai hantaran tersebut, Neelofa mengakui dia kecewa dan terkilan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan muka Bilal dan kemudian disunting pula, bukan wajah sebenar bayi tersebut.

Siapa yang bergelar ibu di dunia ini yang tidak berkecil hati dengan tindakan tersebut. Perbuatan itu tidak boleh diterima apatah lagi melibatkan bayi.

Seorang anak yang masih kecil menjadi bahan suntingan dan buah mulut netizen hanya kerana ibunya seorang selebriti popular bernama Neelofa. Jika bukan anak Neelofa mungkin netizen tidak ambil pusing.

Tidak kira anak siapa sekalipun, itu bukan ‘tiket’ untuk kita mengecam seseorang apatah lagi pada usia bayi. Jangan hanya kerana kita tidak menyukai seseorang, kita boleh membuat sesuatu sesuka hati untuk menyakitkan hatinya.

Tetapi itulah realiti yang berlaku di dalam media sosial sekarang. Bukan sahaja selebriti atau influencer atau pesohor media sosial yang menjadi mangsa kecaman, malah orang biasa juga tidak akan terlepas daripada menjadi bahan netizen.

Kecam dahulu baru fikir kesannya. Lebih mudah lepas buat kemudian minta maaf. Agak sukar sebenarnya untuk mendidik orang ramai menggunakan media sosial secara berhemah.

Hanya mereka yang berhati kental yang akan survive dalam dunia maya. Jika tidak kuat pasti mental akan terganggu.

Cuma harus ingat dalam keadaan ghairah meninggalkan komen, memuat naik sesuatu jangan sampai kita lupa negara ini mempunyai undang-undang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI