fbpx

Habis konsert, Wings ‘berehat’ buat umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSERT Naga Kramat menjadi penutup tirai konsert Wings untuk tahun 2022 yang cukup bermakna.

TEMPOH 37 tahun mengatur rentak dalam arena muzik tanah air meletakkan Wings sebagai band rock ‘otai’ yang menyerlah dengan reputasi tersendiri.

Biarpun berdepan 1001 cabaran, berkat tulus dan kesungguhan, nama kumpulan itu menjadi antara jenama yang terus ampuh di persada hiburan.

Tidak hairan setiap kali mengadakan konsert, jualan tiket juga sentiasa meraih sambutan, sekali gus membuatkan Wings menjadi buruan penganjur.

Naga Kramat penutup tirai

Usai menggamatkan Litar Formula 1 (F1) dan Esplanade Singapura baru-baru ini, Wings dijadualkan beraksi di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Oktober menerusi penganjuran Konsert Naga Kramat.

Akui vokalisnya Datuk Awie, pemilihan nama Naga Kramat bagi konsert penutup tahun ini sebagai simbolik semangat juang yang tinggi.

Pemilihan Naga Kramat sebagai nama konsert penutup tahun ini mempunyai nilai sentimental buat Wings.

“Ketika mencari nama paling tepat untuk konsert kali ini, kami sepakat meletakkan Naga Kramat yang bersifat gah, unik serta melambangkan aura tegar.

“Namanya juga tepat melambangkan jenama Wings dan Zepp Kuala Lumpur yang mempunyai kekuatan masing-masing.

“Hakikatnya tanpa disedari nama ini juga mempunyai nilai sentimental kepada saya dan Wings apabila ketika penghasilan album ini kami kembali bersama.

“Sebelum ini saya pun tak terfikir soal masuk semula menyertai Wings. Nyata kebetulan ini menjadi sesuatu yang manis untuk dikenang.

“Sudah pasti ada nilai sentimentalnya. Mungkin kami akan mengadakan segmen khas buat album Naga Kramat nanti.

“Wings ingin mencipta memori indah dalam setiap persembahan atau konsert memandangkan peminat datang berbayar, bukan percuma,” katanya.

Awie berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman Konsert Naga Kramat 2022 anjuran anjuran MW Mega dan Awie Entertainment.

Hadir sama adalah rakan seperjuangan vokalis tersebut termasuk Eddie (gitar bass), Black (dram), Syam (gitar) dan Edrie Hashim (gitar).

Imbau kenangan

Terdahulu, mengimbas semula memori lampau, Awie pernah membawa haluan sendiri selepas penerbitan album Bazooka Penaka pada 1993.

Selepas lapan tahun, figura yang mempunyai kelompok peminat tegar itu menyertai semula band berkenaan sebelum mereka menghasilkan Naga Kramat yang juga album ke-10.

Wings merancang mengadakan persembahan jelajah ke bandar kecil di seluruh negara sebagai penghargaan kepada peminat.

Pernah berdepan situasi sukar ketika fasa pandemik global, kata Awie, itu bukan pematah semangat, sebaliknya mereka bangkit dengan lebih berbisa.

Begitupun, selepas rancak mengatur jadual, mereka sepakat berehat usai konsert bagi memberi tumpuan terhadap perkara lain.

Umrah keluarga Wings

Sedia meredakan minda, pada masa sama matlamat memperlahankan langkah adalah dengan melaksanakan ibadah umrah yang juga berada dalam senarai teratas mereka.

Dalam pada memenuhi undangan persembahan, hajat yang direncana sekian lama enggan ditangguhkan apatah lagi itu dianggap tanda kesyukuran atas nikmat dikurniakan Allah.

“Semua insan melalui waktu getir ketika Covid-19 menyerang dunia, tetapi kita kena cekalkan hati untuk bangkit dan bernafas semula demi kelangsungan hidup.

“Alhamdulillah, syukur dikurniakan kesihatan untuk dapat kembali bekerja selepas dua tahun turut terjejas seperti orang lain. Semua ini juga berkat doa ramai.

Wings merancang mengadakan persembahan jelajah ke bandar kecil di seluruh negara sebagai penghargaan kepada peminat.

“Jadi apa petanda sebenarnya? Kami pun risau adakah ini petanda yang baik atau tak lama lagi Wings akan habis? Insya-Allah kami selesaikan semua komitmen hingga bulan ini.

“Bulan depan kami rancang mengerjakan umrah bersama-sama. Allah bagi rezeki, jadi kami akan pergi berlima. Sesiapa nak bawa keluarga, boleh saja,” kata Awie lagi.

Lebih selesa memberi laluan terhadap konsert penyanyi lain dengan berehat selepas mengerjakan umrah, kata Awie, mereka hanya akan aktif semula selepas sambutan Aidilfitri tahun depan.

Masuk kampung

Pada waktu itu Awie atau nama lengkapnya Ahmad Azhar Othman, ingin memberi tumpuan terhadap perancangan ‘masuk’ ke lokasi yang pernah menjadi permulaan perjalanan mereka termasuk kawasan kampung.

“Sekarang semakin banyak konsert dan persembahan. Kami tak nak kacau penjualan tiket mereka, sebaliknya merancang untuk memperlahankan rentak hingga ke awal tahun depan.

“Tengoklah, semua ini bukan pelan jangka pendek, sebaliknya perincian sudah dibincangkan bersama-sama. Ikut kesesuaian dan situasi semasa.

MENGENANG kembali permulaan mereka dalam industri, Wings merangka jelajah ke kawasan kampung dan tanah rancangan demi bertemu peminat dari segenap lapisan masyarakat.

“Ini pun sekadar perancangan kerana andai ada tawaran yang bagus kami akan pertimbangkan, tetapi fokus utama adalah jelajah ke kampung dan tanah rancangan. Kiranya Wings mahu kembali ke lokasi asal bertapak.

“Sudah menjadi hasrat Wings ingin menghiburkan peminat dari pelbagai peringkat terutama mereka yang selama ini membuatkan Wings terus berdiri utuh,” kongsinya.

Aksi ditunggu

Sementara bercakap tentang lokasi Zepp Kuala Lumpur sebagai gelanggang untuk persembahan mega kali ini pula, vokalis itu mengakui sememangnya ini detik bersejarah yang ditunggu-tunggu mereka.

“Semua orang mahu menakluk gelanggang gah ini. Wings sudah beraksi di pelbagai pentas hebat, pastinya lokasi bertaraf dunia ini juga antara pilihan.

“Sebelum ini kami hanya dengar cerita daripada rakan seperjuangan yang pernah beraksi di situ. Kali ini giliran kami pula yang turut menjanjikan kepuasan buat Sayap Sayap Wings.

“Sejujurnya kami pun teruja kerana pertama kali berpeluang menghiburkan penonton di pentas yang dikatakan bertaraf antarabangsa.
“Repertoir persembahan juga ada kelainan kerana di setiap konsert kami mahu penonton pulang bersama kepuasan maksima,” katanya.

Tiket laris

Selepas kaunter jualan tiket online dibuka, lapan tempat duduk Royal Box berharga RM10,000 terus disambar pembeli, manakala kini hanya berbaki tiket untuk penonton berdiri.

“Boleh dikatakan tempat untuk penonton duduk sudah habis dibeli termasuk Royal Box yang juga tiket terawal paling laris malah mendapat banyak permintaan.

“Potongan harga tiket juga diberikan bagi penuntut iaitu RM169, berbeza daripada kadar asal RM244 (Bujang Senang),” katanya.

Harga untuk kategori lain adalah RM274 (Amok), RM364 (Misteri Mimpi Syakila) dan RM574 (Taman Rashidah Utama).

Sementara itu, MW Mega Production menjelaskan tiket konsert sudah lebih 80 peratus dijual dan mereka yang berminat boleh mendapatkannya menerusi www.ticket2u.com.my/nagakramat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI