MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag dapat merasakan Cristiano Ronaldo sudah kembali pada prestasi sebenar dan bersedia untuk diturunkan secara lebih kerap pada aksi akan datang.
Di sebalik kritikan dan persoalan yang timbul mengenai masa depan Ronaldo di Old Trafford, pengurus itu menegaskan, beliau akan terus kekal berada di belakang Ronaldo dan yakin ada sesuatu yang mampu ditagih daripada bintang Portugal itu.
“Saya mahu terus menyokongnya, jadi kami boleh minta sesuatu daripada dia untuk mengisi posisi tertentu. Ini juga yang saya lakukan kepada pemain dan sudah pasti saya hanya mahukan yang terbaik daripada seluruh pasukan. Ronaldo bertambah baik dan saya pastinya gembira dengan apa yang dilaluinya ketika ini,” kata Ten Hag.
Pada aksi dengan Everton, Isnin lalu, Ronaldo berjaya melengkapkan gol ke 700 peribadinya di peringkat kelab untuk menghadiahkan kemenangan 2-1 buat Red Devils.
Dalam perkembangan lain, kapten Portugal itu akan cuba mempertahankan dirinya berhubung perndakwaan yang dilakukan oleh Persatuan Bolasepak England (FA) atas dakwaan bertindak ganas kerana dirakam menghempas telefon salah seorang penyokong selepas rakaman itu tular kira-kira enam bulan lalu.
Ronaldo dijangka tidak akan menafikan kejadian itu sebaliknya akan memberikan penjelasan lanjut bagi mengelak dikenakan hukuman penggantungan lebih banyak perlawanan. – AGENSI