BARCELONA – Peluang Barcelona untuk melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini semakin sukar selepas sekadar seri 3-3 dengan Inter Milan di Stadium Camp Nou awal pagi semalam.
Keputusan itu menyaksikan The Catalans kekal di tangga ketiga Kumpulan C, tiga mata di belakang Inter di tempat kedua dan lapan mata ditinggalkan Bayern Munich yang sudah melayakkan diri.
Tugasan berat menanti Barcelona kerana wajib menang menentang Bayern dan Viktoria Plzen sambil mengharapkan Inter tercicir mata atau tewas dalam baki dua perlawanan Kumpulan C selepas ini.
Pengendali Barcelona, Xavi Hernandez mendakwa, skuad bimbingannya ‘tidak layak’ untuk meraih tiket peringkat 16 terbaik disebabkan kegagalan mereka menumbangkan Inter di laman sendiri.
“Sekarang ia tidak bergantung kepada kami lagi. Kami tidak layak meneruskan saingan pada Liga Juara-Juara. Memang kejam tetapi itulah hakikatnya.
“Jika ada seorang individu perlu dipersalahkan, ia adalah saya. Sebagai seorang pengurus, saya mengambil tanggungjawab terhadap kesalahan para pemain saya,” katanya.
Nada kecewa turut diluahkan pemain-pemain berpengalaman Barcelona termasuk ketua pasukan, Sergio Busquets kerana mereka hanya berupaya melakar satu kemenangan daripada empat aksi Kumpulan C.
“Ia sangat mengecewakan terutama selepas pasukan anda berbelanja besar mendapatkan ramai pemain hebat musim ini. Secara matematiknya ia belum berakhir tetapi ia amat sukar,” jelasnya.
Tiga gol Inter dalam aksi itu dijaringkan oleh Nicolo Barella pada minit ke-50, Lautaro Martinez (m-63) dan Robin Gosens (m-89).
Barcelona pula sekali lagi terus mengharapkan sentuhan penyudah Robert Lewandowski yang meledak dua gol pada minit ke-82 dan 92 selain satu daripada Ousmane Dembele (m-40). – AGENSI