fbpx

Warga emas rugi RM54,500 tertipu batu delima sakti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) masjid di Jasin yang menunjukkan salah seorang suspek melarikan diri.

MELAKA – Sepasang suami isteri warga emas rugi RM54,500 apabila terpedaya dengan taktik sekumpulan lelaki menjual batu delima yang didakwa berupaya bercahaya di dalam air dan mengubati penyakit.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, laporan berkaitan kes tersebut telah dibuat oleh pengadu lelaki berusia 77 tahun di Balai Polis Jasin pada 5 Oktober lalu.

Katanya, mengikut laporan dibuat, kejadian dikatakan berlaku ketika pengadu sedang membeli jagung di bandar Jasin, manakala isterinya menunggu di dalam kereta sebelum didatangi seorang lelaki yang bertanya mengenai sebuah buku agama dicarinya.

“Pengadu kemudian memaklumkan terdapat sebuah kedai menjual buku sebelum seorang lagi lelaki yang memakai kopiah datang dan suspek pertama berpura-pura bertanya soalan sama kepada suspek kedua itu.

“Suspek pertama kemudian memberitahu ingin mencari buku tersebut untuk menunjukkan batu delima, sambil mengeluarkan sebutir batu delima bewarna merah dari poketnya, yang didakwa boleh mengubati segala jenis penyakit.

“Kedua-dua suspek kemudian menaiki kereta pengadu bagi menunjukkan batu tersebut mampu bercahaya apabila direndam di dalam air dan menyuruh pasangan itu meminum air rendaman selepas melihat wanita warga emas berkenaan bertongkat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi meyakinkan pasangan itu, suspek telah mengajak mereka ke Hospital Jasin dan berjumpa suspek ketiga yang mengatakan batu tersebut sangat berharga serta ingin membelinya pada harga RM320,000.

“Pengadu dan suspek pertama serta kedua kemudian berbincang dan bersetuju untuk memberikan keuntungan sama rata, namun suspek ketiga memberitahu dia perlu meminjam sejumlah wang pengadu untuk membeli batu tersebut.

“Tanpa berfikir pengadu kemudian telah pulang ke rumah di Felda Bukit Senggeh dan menyerahkan wang RM4,500 kepada suspek, namun diminta untuk mengeluarkan lagi sejumlah RM50,000 dari akaun Maybank,” ujarnya.

Tambahnya ketiga-tiga suspek berusia antara 40 hingga 50 tahun.

Katanya, suspek kemudian memberikan batu itu kepada pengadu dan menyuruhnya menunaikan solat sunat di masjid berhampiran sambil menunggu suspek ketiga datang.

Jelasnya, kedua-dua suspek bagaimanapun bertindak melarikan diri ketika kedua-dua warga emas itu sedang bersembahyang dan pengadu menyedari telah ditipu apabila mendapati batu tersebut tetap menyala walaupun tidak direndam di dalam air.

Mispani berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI