LISBON, Portugal – Pelumba World Supersport 300 dari Belanda, Victor Steeman disahkan meninggalkan dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika berlumba di Portugal hujung minggu lalu.
Pelumba MTM Kawasaki berusia 22 tahun tersebut mengalami kecederaan parah ketika bersaing dalam perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Algarve pada Sabtu lepas.
Perlumbaan tersebut dihentikan dan pelumba Belanda itu dikejarkan terus ke hospital dengan dibawa menggunakan helikopter ke Faro.
“Pasukan perubatan telah berusaha sebaik mungkin termasuk daripada marsyal dan kakitangan hospital.
“Namun, dengan rasa berat hati dan sedih untuk disampaikan bahawa Steeman meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya,” menurut kenyataan daripada WSBK.
Steeman memulakan pusingan perlumbaan di Portugal dan dia berpeluang untuk merebut gelaran juara selepas meraih empat kemenangan dengan lima podium musim ini.
Kematian Steeman berlaku kurang seminggu selepas pelumba British Superbikes, Chrissy Rouse, 26, meninggal dunia akibat kecederaan pada kepala selepas dilanggar oleh pelumba lain dalam perlumbaan di Litar Donington Park England. – AGENSI