PETALING JAYA – Pembekal skuter elektrik pintar, Blueshark bersama EP Manufacturing Berhad (EPMB) mengumumkan usaha sama pelbagai hala.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (ASEAN) EP Blueshark Sdn. Bhd., Jeff Chong, berbekalkan ekosistem produk dan model perniagaan unik, syarikat akan dapat menjadikan produk tersebut lebih mudah diakses oleh semua, terutamanya golongan B40.
“Kami akan memberi perhatian khusus untuk memperkasakan golongan yang kurang mendapat perhatian ini dengan tawaran subsidi, peluang pekerjaan dan program keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau & Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2022 di sini semalam.
Chong menjelaskan, kehadiran Blueshark di Malaysia bakal mendukung mobiliti lestari buat penduduk tempatan dengan menggandingkan teknologi berimpak tinggi serta pendekatan holistik terhadap mobiliti urban hijau.
“Matlamatnya adalah untuk menggerakkan perniagaan dari segi logistik dengan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Ia juga dapat memudahkan kegiatan ekonomi sambilan, sekali gus membekalkan akses yang lebih baik dan pelbagai peluang kerjaya buat komuniti B40,” tambahnya.
Selain itu, Naib Pengerusi Eksekutif EPMB, Zulkefly Baharuddin berkata, sementara dunia menuju ke arah mobiliti hijau dan nyah karbon, pihaknya percaya, cara paling efektif untuk menggiatkan penerimaan kenderaan elektrik adalah dengan membekalkan pengguna akses kepada produk yang lebih baik dan mampu milik.
“Sehubungan itu, kami percaya, sebagai perintis dalam industri ini, Blueshark akan menjadi jenama paling diyakini yang memiliki teknologi, infrastruktur dan ketersediaan untuk menembusi pasaran sedia ada,” ujarnya.
Sementara itu, pusat 3S pertama yang bakal dibuka tidak lama lagi di Glenmarie turut membuktikan komitmen syarikat itu untuk memperkayakan infrastruktur tempatan, selain membekalkan sokongan ekosistem yang kukuh. -KOSMO! ONLINE