TARANTO, ITALI – Sebuah pesawat dirakam mengalami detik cemas apabila sebiji tayarnya tercabut sejurus berlepas dari sebuah lapangan terbang di Itali selepas terbakar dengan tiba-tiba, lapor akhbar The Sun, kelmarin.
Tayar itu terbakar ketika pesawat Boeing 747 tersebut bergerak di landasan sebuah lapangan terbang di bandar Taranto sebelum meluncur ke udara.
“Salah satu tayar Boeing 747-400 Dreamlifter terbakar dan tercabut ketika berlepas,” demikian menurut kenyataan yang dikongsikan bersama video tersebut di Twitter.
Asap hitam dilihat keluar dari bahagian bawah tayar yang longgar. Ia kemudian jatuh ke tanah dan melantun ke tanah.
Tayar itu didakwa ditemui di luar kawasan lapangan terbang, tidak jauh dari lokasi ia jatuh.
Walaupun mengalami kejadian sedemikian, pesawat itu berjaya berlepas tanpa mengalami gangguan serta mendarat dengan selamat di destinasinya di negeri Carolina Utara, Amerika Syarikat. – Agensi