PETALING JAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Keputusan tersebut sekali gus menjawab teka-teki sebelum ini yang dikatakan Pas bakal menjalinkan semula kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat yang diadakan di Pejabat Pas Pusat di Kuala Lumpur hari ini.
“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan pada hari ini telah membuat keputusan memperkukuhkan kerjasama dalam PN untuk menghadapi PRU15, atas prinsip penyatuan ummah.
“Pas juga memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan PN. Senarai calon daripada Negeri perlu diangkat untuk penilaian Majlis Syura Ulama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE