GEORGE TOWN – Peniaga ayam standard di negeri ini terpaksa berdepan dilema ekoran kenaikan harga ayam standard yang berterusan daripada pembekal sehingga 30 sen yang kini telah mencecah RM9.30 sekilogram.
Perkara tersebut dikongsi para peniaga ternakan itu semalam selepas mereka mula menerima maklumat terntang kenaikan harga menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) termasuk WhatsApp.
Tindakan pihak pembekal menaikkan harga barangan basah itu dikatakan berlaku buat kali yang ketiga iaitu pada 2 Oktober, 5 Oktober dan semalam.
Ketika ini, penetapan harga siling bagi ayam standard adalah RM9.40 sekilogram, namun pihak pembekal dikatakan meletakkan harga tidak seragam sehingga mencecah RM9 sekilogram berbanding RM8.10 yang ditetapkan kerajaan.
Seorang peniaga ayam, Mohamad Nasir Abdul Kalam, 31, berkata, pihak pembekal mengumumkan lagi kenaikan harga ayam standard bermula 13 Oktober (hari ini) dan perkara ini sememangnya membebankan mereka terutama peniaga kecil.
Menurutnya, pihak berkuasa seharusnya menyelesaikan isu tersebut dengan kadar segera bagi mengelak berlakunya kenaikan harga luar penetapan kerajaan daripada pihak peruncit atau peniaga.
“Ini tidak adil. Kami hanya peroleh hasil jualan sekitar 20 sen hingga 30 sen sahaja untuk seekor ayam standard. Ini belum diagihkan untuk bayaran gaji harian pekerja, sewa tapak, bil utiliti dan kos beg plastik.
“Bila peniaga naikkan harga hanya 10 sen melebihi harga kawalan, kena tindakan dan kompaun. Tetapi, dalam situasi ini (kenaikan harga), pembekal pula yang raih untung dan selamat,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Dalam pada itu, seorang lagi peniaga ayam yang hanya mahu dikenali sebagai Fahmi, 39, pula memberitahu, dia dimaklumkan pihak pembekal mengenai kekurangan bekalan ayam di peringkat ladang.
“Pembekal mendakwa yang pihak pengilang sukar untuk memperoleh stok ayam ketika ini disebabkan banyak ayam mati di ladang.
“Alasan ini juga menyebabkan pihak peladang sehingga pembekal menaikkan harga ayam di luar penetapan kerajaan.