ISLAMABAD – Kementerian Kesihatan Pakistan meluluskan cadangan untuk membeli lebih enam juta kelambu dari India bagi membendung penularan wabak malaria dan penyakit bawaan vektor lain selepas bencana banjir melanda sebahagian besar negara itu, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Menurut laporan media tempatan, Pakistan kini menerima bantuan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mendapatkan dana bagi pembelian tersebut dan akan menggunakan sumber kewangan yang disediakan oleh tabung Global Fund.
Laporan itu menambah bahawa Islamabad dan WHO berharap agar penghantaran kelambu akan dimulakan pada tahun depan melalui laluan sempadan di Wagah.
Menurut WHO, jika trend jangkitan semasa berterusan, Pakistan berkemungkinan merekodkan 2.7 juta kes malaria di 32 daerah menjelang 2023.
“Malaria merebak dengan pantas di 32 daerah yang dilanda banjir di negara ini di mana beribu-ribu kanak-kanak dijangkiti penyakit bawaan nyamuk itu,” kata seorang pegawai WHO.
Cadangan untuk membeli kelambu sebelum ini diusulkan pada bulan lalu.
“Terdapat keperluan mendesak untuk menghantar 7.1 juta kelambu di 26 daerah di Pakistan,” demikian menurut ciapan seorang wartawan kanan, Ghulam Abbas Shah di laman Twitter bulan lepas.
Kelulusan terhadap pembelian kelambu itu adalah berlawanan dengan pendirian Pakistan sebelum ini yang menolak bantuan dari India, negara jiran yang mempunyai hubungan tegang dengannya.
Pakistan turut menolak bantuan dari Bangladesh yang mendakwa bahawa langkah itu akan memberi kesan negatif kepada imej global Islamabad. – Agensi