PETALING JAYA – Seakan menjadi satu lumrah kebiasaan apabila tiba musim mengundi, maka bermulalah wakil rakyat atau yang berhormat (YB) turun padang berjumpa rakyat.
Sejak pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri beberapa hari yang lalu, nampaknya YB-YB ini mula mengorak langkah turun padang berjumpa rakyat.
Tidak kira dari parti mana sekalipun, keadaan ini pasti sahaja muncul jika tibanya musim pilihan raya bagi meraih undi rakyat.
Tinjauan pengguna media sosial nampaknya turut meluahkan perasaan sama apabila sudah ada wakil rakyat yang mula sibuk dengan membersih sampah serta mencari pelbagai masalah di kawasan masing-masing ketika ini.
“Dah ada YB yang peduli berkenaan tiang elektrik yang dikatakan bahaya di kawasan aku, siapa pakai baju keselamatan dan kasut getah lagi.
“Kali terakhir aku tengok dia sibuk cari masalah rakyat ni seingat aku 2018 dulu, lepas tu macam tiada. Tak tahu lah kalau aku terlepas pandang,” kata Mantera Merah.
“Kejadian lucu dan aneh ini bakal berlaku lima tahun sekali, jangan terkejut jika ada wakil rakyat ketuk rumah anda pukul 10 malam bagi seguni beras dan gula lepas ini.
“Itu adalah acara wajib, dan kita juga wajib ambil apa yang mereka bagi,” jelas Mat Duan PD. – KOSMO! ONLINE