fbpx

Mengundi hari Sabtu tidak jejaskan operasi sekolah – Radzi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) Peringkat Putrajaya - Genting Highlands di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengesyorkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilaksanakan pada hari Sabtu agar tidak mengganggu pengoperasian sekolah.

Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pelaksanaan hari mengundi pada hari cuti hujung minggu akan memudahkan semua pihak dalam membuat persiapan terutamanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kalau buat pada Ahad pun (turut terjejas) kerana ada negeri yang bersekolah. Bagaimanapun kita tidak tahu tarikh yang akan ditetapkan SPR tetapi kalau hari bersekolah, maka sesi persekolahan akan terjejas untuk hari tersebut.

“Persediaan untuk menyediakan tempat bukan sehari, malah ia ambil masa lebih awal sehari sebelumnya. Jadi hari pengundian pada hari Sabtu memudahkan semua pihak termasuk sekolah dan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta Petronas Le Tour de Langkawi peringkat Putrajaya – Genting Highlands di sini hari ini.

Dalam perkembangan berlainan, Radzi memaklumkan bahawa pelaksanaan kenaikan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang akan dilaksanakan pada bulan ini tidak akan terjejas walaupun Parlimen tlah dibubarkan.

Ini sebagaimana diumumkan menerusi pembentangan Bajet 2023 baru-baru ini yang mana pelaksanaan kadar makanan bermasak RMT daripada RM2.50 sen kepada RM3.50 untuk Semenanjung dan RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan akan berkuat kuasa pada bulan ini.

Bagaimanapun, kata beliau, cara pendekatan pelaksanaan kenaikan kadar itu akan dibincangkan dan diperincikan bersama pihak Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2023 mengumumkan kenaikan kadar baharu RMT berkuat kuasa bulan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM777 juta.

Penambahbaikan program RMT dijangka memberi manfaat kepada 800,000 murid dan 7,300 pengusaha kantin sekolah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI