KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan berhubung kematian model Belanda Ivana Esther Robert Smit yang ditemui dalam keadaan bogel di balkoni tingkat 6 sebuah kondominium di Persiaran Capsquare di sini lima tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Mohd. Azhar Hamzah dalam pengurusan kes saman ibu Ivana Smith, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen terhadap Ketua Polis Negara, Asisten Superitendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab serta cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian Ivana Smith.
Semasa prosiding Mohd. Azhar Hamzah memaklumkan keempat-empat defendan masih menjalankan siasatan kes, namun belum lengkap.
“Ia berdasarkan pemeriksaan kami dengan pegawai penyiasat. Ada beberapa perkara perlu dilakukan untuk lengkapkan siasatan,” katanya pada pendengaran kes saman itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Sementara itu seorang lagi SFC Norfauzani Mohd. Nordin, berkata bukan pada peringkatnya untuk memaklumkan mengenai perkembangan siasatan.
Mendengar perkara itu, peguam keluarga mendiang Ivana Smith, Datuk Sankara Nair, berkata setakat ini, pihaknya tidak boleh mengesahkan sama ada kes itu masih disiasat atau sebaliknya.
“Perlu bukti jika siasatan itu dijalankan. Saya sudah menulis surat kepada Perdana Menteri dan salinannya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Ketua Polis Negara. Namun, tiada maklum balas daripada mereka,” kata peguam tersebut.
Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan 4 November ini untuk prosiding kes seterusnya.
Pada 7 Februari lalu, saman yang difailkan Christina Carolina, 58, terhadap keempat-empat defendan yang didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab serta cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya, akan diteruskan perbicaraan sepenuhnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Yaacob Md Sam dalam keputusan sebulat suara itu membenarkan rayuan Christina Carolina berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya.
Sebelum itu pada November 2019 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan keluarga model, Ivana Esther Robert Smit, bagi membatalkan keputusan Mahkamah Koroner yang mengklasifikasikan kematiannya disebabkan oleh nahas.
Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pada 20 November 2020, plaintif mendakwa anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di sini pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Sebelum ini, Mahkamah Koroner mendapati tidak wujud sebarang perbuatan jenayah, malah tiada individu yang terbabit dalam kes itu
Pada 7 Disember 2017 Ivana Smit ditemui mati dalam keadaan bogel di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat 6 sebuah kondominium di Persiaran Capsquare di sini selepas terjatuh dari tingkat 20. – KOSMO! ONLINE