KOTA BHARU – Perbuatan seorang penghantar barangan runcit yang mencuri dua buah televisyen di bilik hotel berbalas apabila dia terpaksa meringkuk di dalam penjara selama enam bulan dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Muhammad Nurdanial Haiqal Mohd. Jaffri, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri dua buah televisyen yang berada di dalam bilik bernombor 309 dan 310 di sebuah hotel.
Kesalahan itu dilakukan olehnya di Tune Hotel, Jalan Hamzah di sini kira-kira pukul 10.30 pagi pada 10 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yusnaliza Mohammad Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ariyani Mohd. Amin.
Terdahulu, Yusnaliza memohon mahkamah menetapkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh selepas mengambil kira kerugian yang dialami pemilik hotel tersebut.
Ariyani dalam rayuannya meminta mahkamah menetapkan hukuman yang ringan kerana percaya tertuduh sudah insaf dan sedar dengan kesalahan tersebut.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara selama enam bulan dan tambahan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda sebanyak RM2,000.
Tertuduh tidak membayar denda yang ditetapkan mahkamah.
Mengikut fakta kes, seorang pekerja lelaki yang mengemas dua buah bilik di hotel tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi pada 10 Oktober lalu mendapati dua buah televisyen hilang sebelum memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak pengurusan hotel.
Penyelia hotel itu melihat rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan mendapati tertuduh telah masuk ke dalam dua buah bilik dan membawa keluar dua buah televisyen bernilai RM800 melalui tangga di hadapan hotel tersebut. – KOSMO! ONLINE