PUTRAJAYA – Laporan Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice In The Wilderness” tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas akan didedahkan kepada umum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai selepas dua pasukan petugas khas membentangkan laporan siasatan tulisan Tommy Thomas baru-baru ini.
“Susulan pembentangan Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice in The Wilderness” tulisan Tommy Thomas, kerajaan bersetuju menyahklasfikasikan dan mendedahkan laporan tersebut kepada umum,” katanya di sini tadi.
Pada masa sama, pasukan petugas khas turut membentangkan Laporan Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dalam mesyuarat jemaah menteri pada 30 September 2022 dan 7 Oktober 2022.
“Pelbagai pendekatan dilaksanakan seperti meneliti dokumentasi, mengadakan siri perbincangan dan lawatan kerja dalam serta luar negara selain khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juru hidrografi luar negara dan sesi temu bual dengan individu dikenal pasti.
“Susulan itu, jemaah menteri bersetuju dengan cadangan dikemukakan pasukan itu seperti meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan isu ini,” tegasnya.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga dimaklumkan mengenai kemungkinan kecuaian bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila Malaysia terlepas peluang memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada tahun 2008.
“Ia juga melibatkan permintaan tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selepas Dr. Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018,” jelasnya.
Katanya, syor-syor hala tuju kerajaan dan penambahbaikan yang dicadangkan Pasukan Petugas Khas melalui kedua-dua laporan itu adalah bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbangkan hasil analisis, penelitian serta pemerhatian pasukan itu. – KOSMO! ONLINE