PETALING JAYA – Pelakon jelita, Amelia Henderson menegaskan dirinya tidak mengambil sebarang ubat-ubatan bagi memutihkan atau mencerahkan ketiaknya.
Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson berkata, adalah menjadi sesuatu yang tidak wajar membandingkan kecerahan bahagian tubuhnya itu dengan tahap kesempurnaan orang lain.
“Antara dua, sama ada saya menangis sebab orang tak nak tengok muka saya, mereka hanya nak tengok ketiak saya ataupun saya keluarkan produk (melibatkan) ketiak dan saya jadi jutawan.
“Jadi, mana satu yang lagi bermanfaat buat kehidupan saya? (tertawa). Tetapi, saya belum ada lagi terfikir nak keluarkan produk untuk ketiak.
“Sebab saya rasa bab-bab kecerahan (ketiak), saya tak berapa sokong. Sebagai seorang yang berdarah campur, janganlah bandingkan kecerahan saya sebab memang saya tiada makan ubat atau buat apa-apa untuk memiliki ketiak putih,” katanya kepada Kosmo! Online.
Amelia, 26, yang ditemui pada sidang media Gempak Most Wanted di Astro Bukit Jalil semalam turut memaklumkan pengalaman berkecimpung dalam dunia seni hiburan sejak kecil membuat dirinya matang berdepan kecaman netizen.
“Kita patut sayangi diri kita walau macam mana sekalipun. Benda ini kadang-kadang membuatkan saya sensitif tapi saya perlu paksa otak saya fokus kepada perkara yang positif.
“Saya dah berada dalam industri sangat lama. Dah macam-macam saya dengar bukan sahaja pasal diri sendiri tetapi pasal keluarga. Tetapi, komen orang saya tidak peduli sangat selagi mereka tak sentuh keluarga atau kawan-kawan saya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Amelia pernah mencuri perhatian netizen apabila ramai memuji kecerahan bahagian ketiaknya yang dipaparkan melalui untaian video dalam TikTok.
Dalam perkembangan lain, acara Gempak Most Wanted yang dikendalikan Amelia dan Sean Lee mula ditayangkan bermula 28 September pukul 9 malam (setiap hari Rabu) menerusi saluran Astro Ria. – KOSMO! ONLINE