KUANTAN – Kerajaan negeri menyediakan sebanyak RM47 juta peruntukan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) pada tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu tidak termasuk penyediaan bekalan makanan di setiap pusat simpanan bekalan makanan Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB).
“Apa yang kita bincang, ada cadangan dari pengerusi PKOB di setiap daerah terdapat sejumlah wang yang diperlukan iaitu sebanyak RM47 juta.
“Memandangan kerajaan negeri mempunyai kedudukan kewangan yang baik, kita luluskan kesemua permohonan kepada semua pengerusi PKOB daerah,”katanya selepas menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan persiapan banjir Petronas kepada kerajaan negeri di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurutnya, peruntukan terbabit termasuklah bagi penyediaan helipad sekiranya berlaku masalah terputus perhubungan untuk membolehkan penghantaran bekalan makanan.
Tambahnya, antara cadangan lain adalah untuk mengadakan kursus kepada masyarakat setempat mengenai tindakan yang perlu dilakukan sebelum mangsa banjir mendapat bantuan daripada pihak berkuasa.
“Ini kerana mereka berpandangan sebelum mendapat bantuan dari pihak bomba, APM (Angkatan Perkhidmatan Awam), PDRM (Polis DiRaja Malaysia), tentera dan sebagainya, masyarakat setempat perlu membantu mangsa banjir sebab kenaikan air sangat cepat.
“Kita juga telah membuat proses pembelian bot amfibia dan Insya Allah kita akan dapt dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga telah membuat pusat pemindahan tetap bagi menggantikan pusat pemindahan sementara yang dibuat secara adhoc.
Jelasnya pengerusi PKOB telah memberi cadangan diadakn pusat pemindahan tetap yang ada pengasingan lelaki dan wanita serta tandas yang sempurna dan terdapat surau.
“Kita sudah buat satu di Pekan, Maran dan Lipis. Jadi itulah antara beberapa perkara yang dikemukan dalam usaha untuk meminimakan masalah banjir di Pahang.
“Selain itu beberapa siri perbincangan telah diadakan antaranya membuat permohonan untuk melakukan mitigasi projek tambatan untuk menahan air,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE