JAKARTA – Mahkamah Negeri Jakarta Pusat menetapkan tarikh perbicaraan pertama berhubung kes dakwaan penipuan sijil ijazah melibatkan Presiden Joko Widodo (Jokowi) adalah pada 18 Oktober ini, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia, semalam.
Menurut laman web mahkamah tersebut, defendan kes yang terlibat ialah Jokowi, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum sebagai penganjur Pilihan Raya Presiden (Pilpres), Majlis Mesyuarat Rakyat Republik Indonesia serta Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi.
Pihak pendakwa kes (plaintif) pula ialah Bambang Tri Mulyono dan peguamnya, Ahmad Khozinudin.
Plaintif mendakwa bahawa Jokowi telah melakukan perbuatan menyalahi undang-undang (PMH) dengan membuat kenyataan palsu dan/atau memberikan dokumen palsu berupa sijil sekolah rendah, sekolah menengah pertama dan sekolah menengah atas.
Mahkamah itu diminta mengesahkan bahawa Jokowi telah melakukan PMH dengan menyerahkan dokumen diploma yang mengandungi maklumat tidak benar dan/atau memberikan dokumen palsu sebagai syarat lengkap pencalonannya untuk proses pemilihan Presiden dan Wakil Presiden tahun 2019-2024.
Kelmarin, Universiti Gadjah Mada (UGM) menjawab persoalan mengenai ketulenan sijil Jokowi dalam satu sidang akhbar.
Canselor UGM, Ova Emilia menyatakan bahawa Jokowi merupakan alumni Fakulti Perhutanan yang menamatkan pengajian pada 1985.
Ova mengesahkan kesahihan diploma Jokowi yang digunakan ketika mendaftar untuk Pilpres tahun 2019.
“Kami percaya dengan ketulenan ijazah sarjana muda Joko Widodo dan beliau merupakan lulusan Fakulti Perhutanan Universiti Gadjah Mada,” kata Ova. – Agensi