fbpx

Impi ‘lahirkan’ lebih ramai pengadil muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LINGAM (kanan) kini bertugas mengadili saingan Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil ketika ini.

PETALING JAYA – Pengadil hoki berpengalaman tanah air, K. Lingam mahu melihat lebih ramai anak-anak muda ‘terjun’ ke bidang pengadilan sukan itu.

Bagi Lingam, ia merupakan satu kebanggaan buat Malaysia sekiranya ramai pengadil dari tanah air dapat mengadili kejohanan-kejohanan antarabangsa berprestij tinggi seperti Piala Dunia atau Sukan Olimpik.

Menurutnya, Malaysia ketika ini mempunyai 11 pengadil bertaraf antarabangsa selepas Iskandar Rashdan Mohd. Rusli dan Eric Koh mengumumkan persaraan.

ERIC (dua dari kanan) pernah mengadili aksi final Piala Dunia Hoki Remaja 2021 di Bhubaneswar, India yang menyaksikan Argentina menang 4-2 ke atas Jerman.

Menariknya, seorang lagi pengadil dari Malaysia, R. Anbananthan antara yang terpilih untuk mengadili Piala Dunia 2023 di India bermula 13 Januari tahun depan.

“Sekarang sudah ramai pengadil-pengadil muda, jadi ia bagus buat sukan hoki di Malaysia. Kita juga ada lapan pengadil lelaki dan tiga wanita untuk pertandingan antarabangsa.

“Sebenarnya mudah untuk jadi pengadil hoki sekarang. Minat kena ada, ingin belajar dari pengadil senior, jangan cepat puas dan teruskan umpiring sampai satu tahap yang tinggi.

“Aspirasi saya di masa hadapan adalah menjadi ‘umpire coach’ kebangsaan dan antarabangsa supaya dapat berkongsi pengetahuan serta kemahiran kepada pengadil-pengadil muda,” katanya.

LINGAM (kanan) pernah mengadili pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2022 di Bangkok, Thailand pada Ogos lalu.

Sebagai rekod, Lingam yang berasal dari Banting, Selangor adalah pengadil hoki paling lama berkhidmat di Malaysia dalam kategori padang dan dalam dewan.

Saingan Piala Tun Abdul Razak kali ini merupakan edisi ke-18 buat Lingam sejak mula mengadili kejohanan itu pada 2004 selain pernah mengadili pelbagai kejohanan tempatan seperti Liga Hoki Malaysia.

Selain itu, beliau juga pernah ‘meniup’ pelbagai kejohanan antarabangsa antaranya Piala Juara-Juara Asia, Sukan Asia, Sukan Amerika Tengah dan Caribbean dan Piala Sultan Azlan Shah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI