SHAH ALAM – Perbuatan dua pekerja pembersihan warga Indonesia membunuh burung merpati dengan menggunakan bahan beracun pada Julai lalu membawa padah apabila dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini.
Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Fathur Rosi Arsijo, 22, dan Abdul Rahman Sauji, 32, yang mengekalkan pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 26 Julai lalu.
Kedua-dua mereka sebelum ini pernah didakwa pada 9 Ogos lalu dan mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Selain itu, Rasyihah turut menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan kes terhadap dua lagi tertuduh iaitu Hazirah Masuan, 32, dan Nurul Najwa Shafikah Zukri, 22, yang membuat pengakuan tidak bersalah bagi pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama tanpa kebenaran yang sah atau sebab yang munasabah memberikan bahan yang beracun kepada sekumpulan burung merpati di pekarangan hadapan sebuah kilang gula di Batu 3 Shah Alam, kira-kira pukul 3.53 petang pada 21 Julai lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta yang sama.
Justeru, boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohd. Sharif Sabran dengan Fathur Rosi serta Abdul Rahman tidak diwakili peguam.
Manakala Noor Hazirah dan Nurul Najwa Shafikah diwakili peguam Nur Iwani Izzaty.
Terdahulu, kejadian tersebut tular di media sosial menerusi video berdurasi 15 saat memaparkan ratusan burung merpati mati selepas dikatakan makan dedak ditaburkan pihak tidak bertanggungjawab. -KOSMO! ONLINE