SEREMBAN – Selepas sebulan disiasat, penceramah bebas, Pencetus Ummah (PU) Azman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun.
Azman atau lebih dikenali sebagai Cik Man, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Penceramah selebriti itu ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih dan menghargai doa daripada semua pihak.
“Terima kasih kerana sudi menunggu dan Cik Man menghargai doa daripada semua pihak.
“Alhamdulillah hari ini (semalam) proses pertuduhan, saya diserahkan kepada peguam,” katanya selepas selesai membayar wang ikat jamin pada pukul 2.40 petang semalam.
Mengikut pertuduhan, Azman didakwa melakukan kelucahan melampau ke atas mangsa yang berusia 17 tahun di ruang tamu dan tandas sebuah rumah di Nilai dekat sini pada pada pukul 3 hingga 5 pagi, 6 Julai lalu.
Azman turut berdepan dua pertuduhan lain melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa lain yang berusia 16 tahun 10 bulan di dalam sebuah bilik pada pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam, 5 Februari lalu serta di ruang tamu rumah sama pada pukul 3 hingga 6 pagi, 6 Julai lalu.
Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, Azman didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Azman yang memakai baju kurta berwarna biru gelap kelihatan tenang sepanjang prosiding tersebut. Tertuduh hadir di mahkamah dengan ditemani peguam Mohamad Zahid Ahmad, kakak serta abang iparnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly memohon ikat jamin yang tinggi iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan kerana kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mohamad Zahid bagaimanapun merayu satu jaminan yang rendah dengan alasan pendapatan anak guamnya terjejas selepas lelaki itu ditahan reman pada bulan lalu dan memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya.
“Beliau hadir hari ini (di mahkamah) dan menunjukkan kerjasama yang baik. Tertuduh bujang dan menanggung keluarga di Rantau, Seremban,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi kesemua pertuduhan selain syarat dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes tersebut selesai.
Tertuduh juga diarah supaya melapor diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember ini.
Pada 11 September lalu, Polis Negeri Sembilan mengesahkan menerima dua laporan berhubung dakwaan amang seksual fizikal melibatkan seorang penceramah bebas.
Laporan tersebut dibuat kedua-dua mangsa yang berusia belasan tahun di Seremban.
Sebelum itu, Polis Selangor memaklumkan pihaknya menerima empat laporan yang dibuat pada 30 Ogos lalu di Klang, Shah Alam dan Kajang.