fbpx

Atasi segera kekurangan bekalan makanan sebelum musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Yusrizal (kiri) ketika meninjau sebuah kedai runcit di Pasar Besar Alor Setar yang kerap kehabisan bekalan telur ayam dan minyak masak peket.

ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mendesak kerajaan supaya bertindak segera dalam menangani isu kekurangan bekalan keperluan harian terutama barang kawalan sebelum masalah itu menjadi lebih serius pada musim tengkujuh nanti.

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, tindakan agresif perlu dilakukan bagi mengelak bekalan terputus dan kenaikan harga barangan sekiranya berlaku banjir.

Katanya, Cake menerima banyak rungutan daripada pengguna sejak dua minggu lalu berkaitan kekurangan bekalan di pasaran terutama telur ayam dan minyak masak peket selain kenaikan harga bagi barangan tertentu.

“Pengguna mendakwa sukar untuk mendapatkan bekalan telur dan kita kemudian bertindak turun sendiri untuk bertemu dengan peniaga.

“Peniaga mendakwa berlaku pemotongan kuota telur oleh pemborong kepada peruncit. Sebagai contoh, bekalan telur di Pasar Besar Alor Setar sebelum ini adalah kira-kira 500 biji sehari, namun ia dipotong separuh selain dikenakan kos penghantaran,” katanya selepas meninjau bekalan barangan keperluan di Pasar Besar Alor Setar, di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga tidak melihat masalah logistik menjadi punca utama bekalan telur ayam berkurangan seperti dinyatakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh sebelum ini.

“Selain telur, kita juga masih berhadapan dengan kekurangan bekalan minyak masak peket dengan sesetengah premis sudah tiada bekalan,” ujarnya.

Menurut Mohamad Yusrizal, tinjauan juga mendapati berlaku kenaikan harga barangan seperti ikan kembung yang dijual sehingga antara RM15 hingga RM20 sekilogram berbanding kira-kira RM10 sebelum ini kerana kekurangan bekalan disebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut disebabkan cuaca tidak menentu.

“Harga barangan seperti bawang besar dan cabai kering yang diimport juga didapati naik antara RM1 hingga RM2 sejak dua minggu lalu.

“Ada juga peniaga di Jitra yang menjual ayam melebihi harga maksimum RM9.40 iaitu pada harga RM9.70 sekilogram,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI