PETALING JAYA – Selepas pengacara sensasi Neelofa mendedahkan wajah anaknya, Muhammad Bilal laman sosial semalam, suaminya pula Haris Ismail memuat naik status berunsur nasihat.
Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz, 27, berkongsi status mengingatkan tentang akhlak itu dipercayai ditujukan kepada netizen yang bercakap buruk tentang anaknya.
“Apa-apa pun yang hendak dilakukan, lakukanlah dengan akhlak.
“Nabi diutus untuk menyempurnakan akhlak. Jaga diri jaga mulut ini semoga Allah beri kebaikan dalam hidup kita. Insya-Allah” tulisnya.
Menurut Haris, sebagai seorang manusia yang beragama Islam, menjaga akhlak merupakan perkara yang sangat penting.
Terdahulu, Neelofa mengejutkan ramai apabila memuat naik video berdurasi 1 minit dan 44 saat dalam akaun Instagramnya yang memaparkan koleksi wajah Bilal sejak dilahirkan sehingga kini.
Sebelum ini, isu wajah Bilal hangat diperkatakan apabila seorang pengguna TikTok memuat naik video dalam laman sosial berkenaan.
Neelofa kemudiannya meluahkan rasa kesal dan tersinggung dengan tindakan individu yang menyebarkan wajah Bilal tanpa kerelaannya.
Malah, pengacara Next To Neelofa itu turut terkilan dan mendakwa individu terbabit telah menyunting foto Bilal sebelum memuat naik ke laman sosial.
Akibat tindakan tersebut, pelbagai fitnah dan komen negatif dilemparkan terhadap anak lelakinya itu.
Untuk rekod, Neelofa dan pendakwah bebas, Haris Ismail mendirikan rumah tangga pada 27 Mac tahun lalu.
Rumah tangga pasangan tersebut seterusnya diserikan dengan kelahiran Bilal pada 29 Januari lalu di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara. – KOSMO! ONLINE