fbpx

Al-Sultan Abdullah bertemu Raja Charles III di London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong mengadakan pertemuan dengan Raja Charles III di Istana Buckingham, London, United Kingdom semalam.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja United Kingdom (UK), Raja Charles III, di Istana Buckingham, London, United Kingdom semalam.

Kunjungan hormat itu bersempena lawatan khas Seri Paduka Baginda berdua ke London, dari 10 Oktober hingga 16 Oktober ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, sesi kunjungan hormat itu berlangsung selama 40 minit bermula pukul 3.30 petang waktu tempatan.

Jelas beliau, Raja Charles III berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan Seri Paduka Baginda berdua.

“Baginda Raja Charles III dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut menyentuh isu-isu hubungan dua hala antara Malaysia dan UK termasuk isu alam sekitar serta pelancaran Battersea Power Station, sebuah projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London yang akan dirasmikan Seri Paduka Baginda selepas sesi kunjungan hormat itu.

“Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban dengan Baginda Raja Charles III. Kedua-dua pemimpin telah menjalinkan persahabatan sejak lebih empat dekad, bermula dengan bersukan polo bersama-sama ketika remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa,”katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Fadil berkata, kunjungan hormat itu juga adalah pertemuan kali kedua antara kedua-dua pemimpin pada tahun ini dan ia mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan UK sejak kemerdekaan 65 tahun lalu.

Terdahulu, pada 18 September lalu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat menghadiri Majlis Resepsi bersama Raja Charles III yang telah dihoskan oleh baginda di Istana Buckingham.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan berangkat menghadiri istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II di Westminster Abbey pada 19 September 2022 lalu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI