fbpx

28 maut Taufan Julia badai Amerika Tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai yang terjejas akibat banjir selepas dilanda Taufan Julia dipindahkan dengan bot di perbandaran Choloma, Honduras pada 10 Oktober lalu. - AFP

BANDAR RAYA GUATEMALA – Taufan Julia dilaporkan semakin reda, namun masih membadai Guatemala dan El Salvador dengan menurunkan hujan lebat Isnin lalu apabila muncul kembali di Lautan Pasifik selepas melanda Nicaragua, lapor saluran berita NBC News kelmarin.

Sekurang-kurangnya 28 orang dilaporkan maut di rantau Amerika Tengah itu akibat ribut tersebut.

Menurut agensi pencegahan bencana Guatemala, lima orang maut selepas sebuah lereng bukit runtuh dan menimbus rumah mereka di wilayah Alta Verapaz.

Di wilayah Huehuetenango dekat Mexico pula, sembilan orang disahkan maut termasuk seorang askar yang terkorban ketika melakukan kerja-kerja menyelamat.

Dalam kejadian berasingan, pihak berkuasa El Salvador memaklumkan bahawa lima tenteranya terbunuh susulan kejadian tembok runtuh di sebuah rumah, iaitu lokasi di mana mereka mendapatkan perlindungan di bandar Comasagua. Seorang lagi askar dilaporkan cedera.

Kejadian hujan lebat yang mengakibatkan air sungai melimpah mendorong pihak berkuasa El Salvador untuk mengisytiharkan darurat dan membuka 80 pusat perlindungan.

Sementara itu, di Honduras, seorang wanita berusia 22 tahun mati lemas selepas dihanyutkan oleh arus deras manakala tiga lagi maut apabila bot mereka dinaiki air atau terbalik di utara negara itu. 

Taufan Julia membadai Kepulauan Carribean, tengah Nicaragua pada Ahad lalu dengan angin berkelajuan maksimum 137 kilometer sejam (km/j) sebelum melintasi laluan pegunungan dan merentasi Lautan Pasifik sebagai ribut tropika.

Menjelang Isnin lalu, taufan itu bergerak ke pedalaman Guatemala dan kelajuan angin turun kepada 48 km/j. Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) berkata, taufan itu berpusat kira-kira 137 km di barat laut Bandar Raya Guatemala dengan kelajuan 24 km/j.

Timbalan Presiden Nicaragua, Rosario Murillo memberitahu saluran televisyen TN8 bahawa 9,500 orang telah dipindahkan ke pusat-pusat perlindungan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI