PETALING JAYA – Setiap orang memiliki rezeki masing-masing, cuma apa yang membezakan adalah tempoh masa, cepat dan lambat yang semestinya menguji kesabaran.
Bagaimanapun, beberapa hari ini kecoh apabila seorang peniaga ‘diserang’ seorang lelaki dan wanita yang didakwa berniaga menu yang sama iaitu nasi lemak.
Menerusi video dimuat naik skyullah, memaparkan kejadian tersebut dipercayai berlaku di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.
Insiden itu dikatakan bertambah ‘panas’ apabila mendengar perkataan diucapkan wanita itu yang disifatkan seperti sombong.
“Esok saya tak nak tengok nasi lemak ada di sini. DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dah bagitahu kan?,” kata wanita tersebut.
Meskipun video penuh telah dipadam di laman TikTok, namun ia masih menjadi perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.
Susulan itu, video berdurasi lebih dua minit itu mengundang pelbagai reaksi dan komen negatif daripada orang ramai.
“Aku bukan nak menyebelahi mak cik tu. Aku dari keluarga meniaga tepi jalan. Abah aku pesan kalau nak meniaga tengok sikit kiri kanan juga. Rezeki tu luas.
“Tapi kena hormat dengan peniaga lain meniaga juga. Selangkah keluar rumah niat mencari rezeki kerana Allah,” kata mhdazmnrsln..
“Mak cik berniaga apa sekalipun, kalau haritu Allah takdirkan itu rezeki kawan tu, maka itulah rezeki dia,” ujar eimeerose. – KOSMO ONLINE