PETALING – Berbaki beberapa minggu sebelum melakukan pembedahan, penyanyi terkenal Zamani masih giat memenuhi saki-baki undangan persembahan yang diterimanya di seluruh negara.
Bagaimanapun, keadaan terkini penyanyi kumpulan Slam itu ketika membuat persembahan di Pesta Orkid, Dataran Rompin, Kuala Rompin, Pahang malam kelmarin meruntun jiwa ramai peminat.
Dalam sebuah video dimuat naik peminat dalam TikTok, kelihatan Zamani, 51, yang baru sahaja selesai membuat persembahan sukar turun dari pentas sehingga terpaksa didukung.
“Sedih lihat keadaan Zamani sewaktu habis show malam tadi di Dataran Rompin.
“Kebetulan saya ada di situ dan sempatlah rakam. Nak ajak selfie tak sampai hati tengok keadaan dia. Semoga diangkat segala kesakitan dan diberi kesembuhan kepada Zamani,” ujar pemilik video, @azuraudanggalah.
Rata-rata pengguna TikTok lain berasa simpati dengan keadaan penyanyi lagu Kala Hujan itu lebih-lebih lagi melihat bentuk badannya yang semakin melengkung ke bahagian kanan sehingga menyukarkan pergerakan.
Biarpun sukar turun sendiri dari pentas dan jelas terlihat wajah kepenatan serta menahan sakit, Zamani tetap tersenyum kepada peminat yang mengerumuninya di lokasi.
Kesungguhan penyanyi itu menuai perhatian peminat kerana dia masih tetap kuat bekerja meskipun dalam keadaan fizikal yang membimbangkan.
“Allahuakbar. Ya Allah berilah dia kekuatan dan permudahkan segala urusan buatnya, amin,” doa seorang peminat Zamani.
Zamani dijadualkan menjalani pembedahan pada awal November depan akibat masalah tulang belakang melengkung atau skoliosis yang dideritanya sejak 2019.
Penyanyi itu sempat mengadakan konsert solo, Konsert Doa Buat Zamani Unplugged pada 30 September lalu dan terakhir pada hujung bulan ini bersama beberapa artis lain di Istana Budaya. – KOSMO! ONLINE