LONDON – Penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min berharap rakan sepasukan dapat menerima kenyataan mereka kini perlu bersedia untuk berdepan jadual perlawanan lebih padat jika mahu bergelar pasukan gergasi.
Spurs dijadualkan berdepan Eintracht Frankfurt dalam saingan Kumpulan D Liga Juara-Juara di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi esok dan ia merupakan satu daripada 13 perlawanan yang perlu dihadapi dalam 43 hari.
Justeru, Heung-min menggesa pemain-pemain Spurs supaya tidak mudah mengalah dengan menunjukkan permainan lebih berkualiti, memandangkan mereka seri tanpa jaringan menentang Frankfurt dalam perlawanan terdahulu.
“Semua pemain tahu bahawa perlawanan Rabu ini (esok) sangat penting kerana kami langsung tidak berpuas hati dengan keputusan pertemuan pertama. Sekarang kami bermain di laman sendiri, jadi kelebihan buat Spurs.
“Sebelum ini, kami bermain dua kali di tempat lawan dan ia bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi ini adalah saingan Liga Juara-Juara. Semua pemain perlu sedar kami adalah pasukan kuat dan perlu dapatkan tiga mata,” katanya.
Sementara itu, dia juga berharap rakan sepasukan gembira walaupun terpaksa berdepan jadual padat memandangkan ini adalah impian mereka untuk beraksi dalam kancah bola sepak tertinggi di Eropah.
“Ini adalah impian kami sebagai pemain bola sepak.
“Kami tidak boleh merungut. Saya tahu ia penat dari segi mental dan fizikal, namun kami sudah realisasikan impian masing-masing,” ujarnya. – AGENSI