fbpx

Ralat, banyak benda tak sempat buat dengan abah – Nabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KATA Nabil, dia bersyukur pemergian bapanya dipermudahkan dan solat jenazah arwah dilakukan oleh orang-orang hebat.

PETALING JAYA – Pemergian arwah bapa kepada Nabil Ahmad pada Jumaat lalu cukup menyedihkan pengacara dan penyampai radio itu serta seluruh ahli keluarga kerana dia meninggal dunia dalam keadaan mengejut.

Keadaan tersebut membuatkan Nabil, 39, mengakui berasa agak ralat kerana sebagai anak, banyak lagi perkara dan tanggungjawab yang tidak sempat dilunaskan untuk arwah bapanya.

“Hari Isnin selepas tahlil, saya duduk sendirian memikirkan apa yang berlaku. Sangat mengejutkan untuk seluruh keluarga kami.

“Selama ini abah yang jaga mak. Mak saya dah dialisis selama tujuh tahun sebab buah pinggang dan sakit jantung. Dialah yang bawa mak ke hospital dan klinik tetapi tak sangka, yang menjaga ini pergi dulu.

“Sebagai anak, banyak benda tak sempat nak buat dengan dia. Ada banyak lagi tanggungjawab nak dilangsaikan dan beri perhatian untuk abah,” ujarnya sambil menangis.

Cerita Nabil, sewaktu melawat di hospital pada Khamis, dia masih sempat melihat bapanya tetapi tahap oksigen allahyarham sudah menurun.

Keadaan bapanya, Ahmad Ismail, 71, yang tenat ketika itu menyebabkan dia tidak berpeluang berbual dengan arwah.

“Saya dapat tengok dia dalam keadaan tahap oksigennya dah turun. Dah tak boleh berborak atau cakap apa-apa.

“Bila keluarga semua datang, arwah nak ditidurkan. Masa itu, saya rasa akan dapat tengok abah semula. Tak terfikir langsung itulah kali terakhir dapat tengok dan jumpa dia,” kata Nabil sebak.

Bagaimanapun ujar Nabil, dia bersyukur kerana pemergian insan tersayangnya itu sangat baik dan dipermudahkan.

“Saya syukur, pengakhiran abah sangat-sangat baik. Dia pergi pada hari Jumaat dan dekat dengan bulan Nabi (Maulidur Rasul). Kalam akhir pun dia dapat ucap dengan baik.

“Saya dan adik-beradik mandikan dia dalam keadaan abah tersenyum. Malam Jumaat itu hujan turun sangat lebat. Orang-orang yang datang solatkan jenazah dan menziarah pun hebat-hebat belaka. Saya doa kepada Allah untuk mudahkan perjalanan abah di alam baharu,” tuturnya sayu.

Nabil berkata demikian ketika mengacarakan program MeleTOP malam semalam bersama pengacara jemputan, Lisa Surihani.

Pemilik nama lengkap Ahmad Nabil Ahmad itu kembali bekerja dan memulakan tugasnya di konti radio Era FM pagi semalam sebelum pada sebelah malam mengendalikan rancangan MeleTOP.

Pada masa sama, bapa ketiga anak itu mengakui, kehilangan insan tersayang lebih-lebih ahli keluarga rapat sendiri membuatkan dia tidak boleh duduk bersendirian.

Disebabkan itu, dia sering duduk berbual dengan orang lain sebagai cara untuk mengalihkan perhatian terhadap rasa sedih atas kehilangan arwah bapa.

“Saya mula kerja hari ini sebab saya tak nak duduk seorang diri. Saya nak duduk dan borak dengan orang pasal kerja atau benda lain.

“Sebab itulah saya datang MeleTOP, dapat tengok mereka (penonton). Dapat tengok Azmi (Caliph Buskers), kacau mereka ke,” ujarnya berseloroh.

Jumaat minggu lalu, allahyarham Ahmad menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Serdang, Selangor sekitar pukul 2.30 petang akibat komplikasi jantung.

Allayarham sempat muncul dalam program MeleTOP pada 27 September lalu sempena meraikan sambutan hari lahir Nabil yang ke-39. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI