fbpx

PVIP terima 10,300 permohonan sejak dibuka 1 Oktober lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Dzaimee.

PUTRAJAYA – Program Visa Premium Malaysia (PVIP) yang dibuka sejak 1 Oktober lalu kini sudah menerima 10,300 permohonan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, permohonan itu diperoleh menerusi 16 agensi yang dilantik.

Beliau berkata, berdasarkan kelulusan kuota sebanyak 10,300 ini, kerajaan dijangka menjana hasil sebanyak RM206 juta.

“Setiap agensi atau syarikat yang dilantik untuk mengendalikan program ini dikehendaki membuat bayaran deposit 10 peratus daripada yuran penyertaan RM200,000 untuk setiap prinsipal.

“Deposit ini mesti dibayar oleh agen dalam masa 30 hari setelah mendapat surat kelulusan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, Program PVIP akan dilaksanakan secara berfasa supaya penilaian yang sewajarnya dapat dilaksanakan membabitkan sasaran 20,000 bagi fasa pertama.

Khairul berkata, selepas kuota ini dipenuhi, kadar fi penyertaan sebanyak RM200,000 bagi setiap prinsipal akan dikaji semula.

Menurutnya, Program PVIP adalah satu program berimpak tinggi bagi menarik pelabur-pelabur asing dan hartawan global.

“Ejen-ejen yang dilantik dan peserta-peserta perlu memenuhi syarat-syarat yang ketat sebelum kelulusan diberikan oleh Jawatankuasa Pelulus.

“Antaranya, ejen atau syarikat yang dilantik hendaklah mempunyai modal berbayar sebanyak RM1 juta dan berkeupayaan menjelaskan deposit sebanyak 10 peratus daripada jumlah kuota yang diluluskan,” katanya.

Katanya, bagi peserta pula, mereka hendaklah mempunyai pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan dan membuat simpanan dalam akaun tetap di bank-bank tempatan sebanyak RM1 juta.

“Senarai ejen yang telah dilantik akan dipamerkan dalam laman web dan sosial media JIM bagi memudahkan peserta mengemukakan permohonan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI