KIEV – Presiden Vladimir Putin melancarkan serangan tunggal terbesar Russia dengan membedil hampir 100 peluru berpandu ke atas bandar-bandar-bandar utama Ukraine, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Putin melancarkan 83 peluru berpandu yang didakwa menyasarkan lokasi rangkaian ketenteraan, tenaga dan komunikasi askar Ukraine.
Bagaimanapun, Kiev berkata, peluru-peluru berpandu itu sebenarnya mengenai loji kuasa dan kawasan awam yang sibuk di bandar-bandar utama dan membunuh sekurang-kurangnya 11 mangsa, manakala lebih ramai mangsa yang cedera.
Putin memberitahu, beliau mengarahkan serangan ke atas infrastruktur ketenteraan, komunikasi dan tenaga Ukraine selepas mendakwa Kiev meletupkan Jambatan Kerch yang menghubungkan Moscow dengan Semenanjung Crimea.
“Rejim Kiev melalui tindakannya telah meletakkan mereka sebaris dengan organisasi pengganas antarabangsa.
“Membiarkan jenayah sedemikian tanpa tindak balas adalah mustahil. Sekiranya serangan terhadap kami berterusan, kami akan bertindak balas dengan cara yang keras dan selaras dengan tahap ancaman terhadap Persekutuan Rusia,” tegas Putin.
Ukraine tidak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan jambatan itu meskipun meraikan kemusnahannya semasa letupan berlaku dua hari lepas.
Presiden Volodymyr Zelensky berkata, serangan peluru berpandu oleh Moscow kelmarin telah menyasarkan rangkaian kuasa, bekalan air dan orang awam dalam usaha untuk menyemai keganasan.
“Rusia cuba memusnahkan Ukraine dan menghapuskan penduduknya dari muka bumi,” tambahnya.
Dalam pada itu, peningkatan perang Rusia-Ukraine telah mendorong negara jiran, Poland untuk menggesa rakyatnya meninggalkan wilayah sekutu kuat Moscow iaitu Belarus.
Ia berlaku selepas Presiden Alexander Lukashenko mengumumkan kerjasama serangan ketenteraan bersama Russia ke atas Ukraine.
Lukashenko mengumumkan bahawa pasukan petugas tentera bersama dengan tentera Rusia akan ditempatkan di sempadan barat negara itu.
Belarus setakat ini belum terlibat secara langsung dalam peperangan antara Russia dan Ukraine meskipun menyatakan sokongan penuh kepada Kremlin.
Warsaw berkata, rakyat Poland di Belarus perlu meninggalkan negara itu dengan kadar segera selepas hubungan antara kedua-dua negara menjadi semakin tegang.
“Kami menggesa warga Poland yang tinggal di Belarus untuk meninggalkan wilayah masing-masing menerusi laluan komersial dan persendirian,” kata kerajaan Warsaw dalam panduan untuk pelancong yang diterbitkan di laman web rasmi negara.
Menteri Dalam Negeri Poland, Maciej Wasik berkata, pihaknya sedang memeriksa tempat perlindungan bom Poland untuk memastikan ia masih boleh digunakan dalam waktu kecemasan.
Wasik menegaskan, pemeriksaan itu adalah rutin dan bukan berpunca daripada serangan misil Russia ke atas Ukraine.
“Warsaw sedang bersedia untuk menghadapi ‘senario paling gelap’ walaupun kebarangkalian ia berlaku adalah sangat kecil,” jelasnya. – Agensi