IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah belum memberi perkenan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan pengumuman mengenainya akan dilakukan selepas baginda membuat pertimbangan sewajarnya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara tersebut dimaklumkan baginda kepadanya ketika sesi menghadap di Istana Kinta di sini pada pukul 2.30 petang tadi.
“Pada sesi menghadap Paduka Seri Tuanku, saya telah menyembah maklum pengumuman Perdana Menteri mengenai pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022 setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya juga menyembah maklum mengenai syor oleh Perdana Menteri supaya ketua-ketua kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi pembubaran DUN untuk membolehkan pilihan raya diadakan secara serentak,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Saarani berkata, pada sesi menghadap berkenaan, beliau telah menyembah warkah permohonan pembubaran DUN Perak ke-14 untuk pertimbangan Sultan Nazrin selaras dengan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan.
“Pada sesi menghadap tersebut, Paduka Seri Tuanku telah bertitah bahawa baginda mengambil maklum mengenai permohonan dikemukakan dan akan membuat pertimbangan yang sewajarnya.
“Oleh yang demikian, sebarang ketetapan mengenai permohonan pembubaran DUN Perak akan diumumkan selepas Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan membuat keputusan,” katanya. – KOSMO! ONLINE