IPOH – Pemandu Perodua Myvi yang terbabit nahas mengorbankan isteri dan bayi lelakinya di Kilometer 34, Jalan Keramat Pulai dekat Simpang Pulai semalam masih belum sedarkan diri.
Mangsa, Amyroul Shah Huszaiery Yusri, 23, yang mengalami kecederaan parah kini dirawat di zon merah Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki terbabit mengalami pendarahan usus dan patah kedua-dua kaki.
“Setakat ini, mangsa belum sedarkan diri dan sedang dirawat di zon merah HRPB,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Nor Syahira Mohd. Fadhail, 23, dan bayi lelakinya, Muhammad Rayyan Naufal Amyroul Shah Huszaiery berusia tiga bulan maut dalam nahas membabitkan dua buah kereta.
Siasatan awal mendapati, nahas berlaku ketika Perodua Myvi dari arah Cameron Higlands dipandu suami Nor Syahira itu bertembung kereta jenis Mercedes-Benz dipandu lelaki berusia 25 tahun.
Kejadian dikatakan berlaku ketika kereta mangsa sedang menuruni bukit di laluan berselekoh. – KOSMO! ONLINE