fbpx

Negatif tapi bermakna, darah muda Kecewa Yonnyboii

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YONNY mengambil masa cuma sehari untuk merakamkan lagu Kecewa yang menceritakan kisah lampau diri sendiri dan orang sekeliling yang dekat dengannya.

SELEPAS mencipta kejayaan manis dengan memenangi kategori Album Terbaik menerusi album Yonny (Deluxe Version) dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 September lalu, penyanyi hip hop, Yonnyboii kini hadir dengan single baharu berjudul Kecewa.

Yonnyboii atau nama lengkapnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, Kecewa merupakan sebuah lagu yang telah siap dirakam sejak dua tahun lalu, namun baru kini dia mengambil keputusan untuk melancarkan single tersebut.

“Lagu Kecewa adalah ciptaan sepenuhnya oleh saya. Lagu ini siap dirakam dalam tempoh satu malam saja. Idea untuk menghasilkan lagu ini terhasil daripada inspirasi mengenai kisah masa lalu serta ada mengaitkan emosi orang lain yang mungkin pernah mengalami situasi kecewa.

“Alhamdulillah penantian untuk melancarkan lagu ini akhirnya tercapai dan saya sangat teruja untuk menantikan maklum balas peminat mengenai karya terbaharu ini. Saya percaya setiap daripada kita pernah mengalami fasa kecewa dalam hidup,” katanya.

Bagi Yonnyboii, Kecewa membawa pengertian yang cukup mendalam dalam hidupnya, selain mencabar diri membawakan lagu yang tidak pernah diterokai sebelum ini.

“Ketika rakamkan lagu ini saya dapat rasakan kesedihannya. Kecewa adalah sebuah cerita yang saya mahu sampaikan kepada semua.

“Saya harap pendengar dapat memahami setiap bait-bait lirik lagu ini.

“Saya cipta lagu ini khas buat semua pendengar. Tunjang utama lagu ini adalah hasil perspektif sendiri bersama dan individu yang pernah meluahkan perasaan mereka kepada saya.

“Sebagai seorang remaja yang membesar dalam keadaan sukar dan mempunyai ‘darah muda’ pasti mudah beremosi kerana belum benar-benar memahami erti perasaan sehinggalah meningkat dewasa Jadi melalui pengalaman itu terciptalah Kecewa,” katanya.

Biarpun Kecewa memberi maksud yang seakan-akan negatif, namun Yonnyboii berharap pendengar dan peminat dapat membuka minda dan jangan menghakimi karya tersebut.

Menyentuh mengenai video muzik (MV) Kecewa yang telah dilancarkan pada 4 Oktober lalu menerusi saluran YouTube Yonnyboii, jejaka berusia 24 tahun itu berasa bertuah apabila dapat kembali bekerjasama dengan individu yang pernah menghasilkan video muziknya sebelum ini.

“Proses rakaman MV ini sangat seronok sebab saya dah selalu bekerja dengan pengarahnya iaitu Thaqif Saadon. Kebanyakkan MV saya seperti Salahku dan Aku Itu Aku adalah hasil kerja Thaqif.

“Untuk MV Kecewa, kami sama-sama berbincang dan bertukar pendapat.

“Penggambaran juga berjalan dengan mudah dan cepat. Malah kebanyakan babak yang dirakamkan hanya sekali.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada barisan pelakon yang banyak memberi tunjuk ajar mengenai penjiwaan watak secara lebih mendalam, maklumlah saya tak berapa pandai berlakon,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI