PETALING JAYA – Selebriti terkemuka, Noor Neelofa sekali lagi membuka mulut selepas beberapa individu tidak bertanggungjawab memuat naik wajah anaknya, Muhammad Bilal yang telah disunting dalam media sosial.
Neelofa, 33, amat kecewa dengan sesetengah pihak yang berusaha menyunting muka anaknya sehingga mengubah muka Bilal yang sebenar.
“Sunting muka anak saya sampai jadi bukan rupa dia, selepas itu sebarkan gambar yang sudah disunting itu.
“Macam-macam orang komen jahat pada anak saya. Sudah puas hati? Tidak tahu nak rasa apa,” ujarnya.
Neelofa juga sempat meninggalkan pesanan supaya tidak melampaui batas dalam membuat sesuatu perkara demi memuaskan hati sehingga menimbulkan fitnah.
Terdahulu, Neelofa meluahkan perasaan kecewa dan terkilan dengan tindakan individu yang menceroboh privasi keluarganya dengan menyiarkan gambar Bilal dalam media sosial.
Tindakan tidak bertanggungjawab tersebut kata Neelofa mendahului haknya sebagai ibu kepada bayi berusia lapan bulan itu. – KOSMO! ONLINE