LONDON – Gara-gara persengketaan dalam merebut harta pusaka, seorang lelaki di Britain dipenjarakan kerana gagal membahagikan harta peninggalan bernilai £473,000 (RM2.4 juta) dengan dua anak saudaranya, lapor akhbar Metro UK semalam.
Mark Totton, 51, diberi tanggungjawab untuk menguruskan harta pusaka ibunya, Hazel Totton yang meninggal dunia pada 2019.
Mendiang meninggalkan separuh harta pusaka itu kepada dua cucunya, Hollie Totton, 25 dan Daniel Washer, 19.
Bagaimanapun, selepas tiga tahun, dua beradik itu masih tidak mendapat sebarang harta dan bapa saudara mereka enggan menyatakan apa yang dia lakukan dengan wang tersebut.
Totton gagal mematuhi perintah untuk membahagikan harta pusaka dalam masa tertentu dan mengemukakan laporan penuh mengenai urusan pembahagian.
Lelaki itu kemudian menghilangkan diri apabila diarahkan menghadiri perbicaraan di mahkamah. Polis berjaya menjejakinya, namun dia masih enggan mendedahkan situasi wang tersebut.
Selepas dipaksa, Totton akhirnya akur kepada perintah dengan menyenaraikan semua harta pusaka tersebut termasuk wang bernilai £425,000 (RM2.19 juta) hasil daripada jualan rumah ibunya dan £48,000 (RM247,277) dalam simpanan serta pelaburan.
Tertuduh kemudian dijatuhi hukuman penjara enam minggu pada Jumaat lalu selepas disaman oleh anak saudaranya di Mahkamah Tinggi.
Totton yang mula menjalani hukumannya kelmarin telah diarah membayar £18,000 (RM92,728) kepada dua anak saudaranya. – Agensi