PETALING JAYA – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengucapkan tahniah kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan pasukan itu membenam skuad Sang Kenari 4-1 malam tadi.
Dalam nada berseloroh, Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kelihatan seakan sedikit terkilan dengan kekalahan itu apabila memuat naik hantaran sedang ‘makan angin.’
“Tahniah JDT. Hmm..ada ini bawa bini muda jalan-jalan sebentar.
“Ramai mintak ‘tagline’, baiklah ‘tagline’ malam ini, nak nakal lagu (seperti) mana pun, jangan lupa solat,” katanya pada hantaran yang dibuat tengah malam tadi.
Umum mengetahui Muhammad Sanusi suka mengusik JDT dengan memberikan komen-komen berbaur sindiran dan berseloroh setiap kali ada perlawanan atau isu membabitkan kedua-dua kelab berkenaan.
Malam tadi, skuad Hijau Kuning tumpas 4-1 ketika berdepan JDT di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri. – KOSMO! ONLINE