PETALING JAYA – Konsert Canggung Datuk Jamal Abdillah yang sepatutnya berlangsung pada 29 Oktober ini di Dewan 2020, Kangar, Perlis ditangguhkan ke hujung tahun atau awal 2023.
Penerbit Zeel Productions selaku penganjur, Fadzil Teh berkata, penundaan itu dibuat selepas pengumuman pembubaran Parlimen, sekali gus bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Pihak penganjur mengambil keputusan untuk menangguhkan konsert ini antara Disember 2022 hingga pertengahan Januari 2023. Tarikh baharu akan diumumkan kelak.
“Kami memohon maaf atas kesulitan dan mengucapkan jutaan terima kasih buat rakan media yang membantu menghebahkan berita mengenai konsert ini,” katanya menerusi kenyataan media.
Bersandarkan perancangan, konsert tersebut akan menggabungkan irama Malaysia dan pop yang turut menampilkan beberapa penyanyi lain.
Antara artis yang disenaraikan adalah bakat kebanggaan negeri Indera Kayangan iaitu Khai Bahar serta Aweera.
Tidak ketinggalan kemunculan ratu dangdut, Amelina selain Wany Hasrita dan Amir Masdi.
Syarikat yang terkenal dalam dunia penerbitan drama itu sebelum ini menyatakan memilih Perlis sebagai lokasi utama disebabkan Fadzil ingin memartabatkan budaya negeri kelahirannya.
Pada masa sama, Fadzil juga memaklumkan syarikatnya akan mengembalikan semula wang kepada mereka yang sudah membeli tiket.
“Sehubungan itu, kepada semua pembeli tiket, anda boleh membuat tuntutan bayaran semula
dengan menghubungi nombor diberikan,” katanya.
Sebarang pertanyaan boleh berhubung dengan pengelola tiket menerusi talian 012-3530611.
Harga tiket konsert tersebut dijual bermula serendah RM99 hingga RM10,000. – KOSMO! ONLINE