fbpx

Kalau YB nak undi, sediakan dulu bekalan api dan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASALAH bekalan air bersih di kawasan pedalaman antara isu yang masih gagal diselesaikan sehingga kini. - GAMBAR HIASAN

SEGALA teka-teki sudah terjawab. Mandat yang diberikan oleh rakyat kepada sang pemerintah sejak 9 Mei 2018 berakhir dengan satu ucapan.

Bukan sedikit sebenarnya kuasa yang diberikan oleh rakyat selama ini. Walaupun hanya bermodalkan sekeping kertas, ia telah mencetuskan gelombang politik yang tidak pernah disangka-sangka.

Ia bermula dengan pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad, seterusnya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum dinoktahkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Tiga Perdana Menteri untuk tempoh kurang daripada lima tahun untuk satu lagi catatan sejarah.

Ironinya, pemerintahan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sangat unik sehingga menjadi bahan hiburan rakyat. Ada sahaja kejutan yang disajikan.

Pemerintahan bertukar sekelip mata, semudah bertukarnya pakaian tidur kepada pakaian pejabat. Tiada siapa yang mampu menghalang termasuk rakyat.

Akhirnya, pada tanggal 10 Oktober 2022, atau lebih tepat lagi pada pukul 3.15 petang, mandat itu dikembali kepada rakyat. Mandat itu hadir hanya tiga hari selepas Bajet 2023 dibentang di Dewan Rakyat.

Hakikatnya, selain musim perayaan yang penuh warna warni, musim pilihan raya juga menjadi detik paling ditunggu-tunggu oleh rakyat. Pada ketika inilah rakyat akan bergelar ‘VIP’.

Layanan istimewa akan diberikan oleh sang politikus tanpa mengira status, kaum mahupun agama. Tiada lagi perbezaan sama ada rakyat kategori T20, M40, B40 mahupun miskin tegar.

Selagi mana mereka bergelar warganegara, kuasa itu tetap ada. Calon-calon pelbagai parti akan datang bersalaman. Seceruk mana rumah dihuni, pasti ada yang datang mengetuk pintu.

Jika bernasib baik, adalah habuan yang diberikan. Mungkin dalam bentuk wang ringgit, ataupun zink rumah dan tangki air.

Sedaif mana kehidupan rakyat, sang politikus tetap datang menunduk. Semuanya demi sekeping kertas undi. Tapi ingat, rakyat bukan boneka yang mudah dipermainkan. Janji-janji politik juga bukan lagi jaminan untuk mendapatkan undi.

Sediakan dahulu jalan raya bertar di kampung-kampung terpencil. Sediakan juga bekalan air bersih dan elektrik di kawasan pedalaman.

Berikan juga persekitaran persekolahan terbaik kepada anak-anak luar bandar. Jika itu disempurnakan, adalah undi buat kalian.

Sedarlah bahawa PRU-15 kali ini bakal menjadi titik baharu kepada sebuah sistem politik yang bertamadun. Ia bukan lagi tentang siapa paling hebat berpidato ataupun siapa paling banyak memberi.

PRU-15 ini juga akan menjawab persoalan sama ada kuasa, wang ringgit dan pengaruh masih relevan untuk memikat hati pengundi. Ataupun pengundi lebih bersedia memilih calon ‘kerdil’ tapi berilmu dan berintegriti.

Seperti kata Presiden pertama Indonesia, Pak Soekarno; “Janganlah kita lupa tujuan kita, bahawa para pemimpin itu sebenarnya berasal dari rakyat dan bukan berada di atas rakyat.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI