PENGURUS pasukan The Maxkaelsons, Mohamad Akbar Fathi Ismail berjaya membuktikan mereka yang bukan ‘kaki bola’ mampu menjadi pengendali terbaik pada Liga Fantasi Kosmo!.
Walaupun tidak membuat perubahan besar, Mohamad Akbar mengakui pemain Arsenal, Bukayo Saka menjadi nadi kepada prestasi baik pasukannya pada minggu ke-10.
“Saya mula bermain Liga Fantasi sejak ‘budak rumah’ ajak tetapi mereka semua adalah ‘kaki bola’, manakala saya tidak terlalu minat dengan sukan itu.
“Namun, susulan penurunan prestasi Liverpool, mungkin saya agak berani untuk pilih pemain Arsenal dan saya rasa Saka adalah aset buat The Gunners.
“Saya main fantasi sebab saya mahu buktikan bahawa walaupun tidak minat bola tetapi boleh menang.
“Biasanya saya akan rujuk di Twitter, Youtube dan laman web rasmi Liga Perdana Inggeris untuk dapatkan berita terkini mengenai mana-mana pemain,” kata Mohamad Akbar.
Bakal pengantin anggap terima hadiah perkahwinan
PENGURUS pasukan Kalidouuuu, Firhan Roseli menerima hadiah perkahwinan lebih awal apabila muncul antara lima pemenang mingguan Liga Fantasi Kosmo! untuk minggu ke-10.
Malah, pendekatan berani Firhan apabila tidak menyenaraikan Erling Haaland nyata membuahkan hasil kerana enggan terlalu nampak sama dengan pasukan lain.
“Saya pilih Phil Foden sebagai kapten dan pemain lain yang menjadi penyumbang banyak mata dan kali ini ialah Kevin De Bruyne dan Harry Kane.
“Sebenarnya saya tidak pernah ambil Haaland kerana mahu dapatkan beza mata dengan pemain lain, jadi saya kena ambil risiko.
“Mungkin juga rezeki saya dan dengan hadiah kali ini sedikit sebanyak dapat tampung perbelanjaan untuk majlis kahwin yang dijadualkan hujung tahun ini,” katanya.
Peminat Arsenal pertaruhkan bintang The Gunners
KEPERCAYAAN penuh yang dilakukan pasukan Mimpi Ngerimu untuk mempertaruhkan tiga pemain Arsenal membuahkan hasilkan apabila muncul sebagai pasukan terbaik minggu ke-10 Liga Fantasi Kosmo! dengan mengumpul 96 mata.
Pengurus pasukan, Ricardo Reezal menganggap ketiga-tiga pemain The Gunners yang dipertaruhkan seperti Gabriel Martinelli, Bukayo Saka dan Gabriel Jesus menjadi selepas menewaskan Liverpool minggu lalu.
“Secara peribadi, saya tidak sangka dapat mengutip mata tertinggi pada kempen minggu ini tetapi inilah rezeki selepas melihat semua pemain dalam pasukan agak menjadi.
“Saya peminati pasukan Arsenal dan meletakkan tiga pemain seperti Saka, Martinelli dan Jesus dalam pasukan meskipun berdepan Liverpool.
“Alhamdulillah, semua pemain ini menyumbangkan mata tinggi walaupun kapten yang diletakkan, Erling Haaland tidak berjaya menyumbangkan mata seperti yang diharapkan,” katanya.
Sedia jadikan Haaland kapten sepanjang musim
SELEPAS muncul sebagai salah seorang pemenang Liga Fantasi Kosmo! minggu ke-10, Mohd. Fikri Che Husin tekad menjadikan penyerang Manchester City, Erling Haaland sebagai kapten pasukannya sehingga penghujung musim.
Mengendalikan pasukan SuperPeyi, Fikri telah membuat percaturan terbaik bagi menghadapi perlawanan minggu ke-10, sekali gus muncul sebagai salah seorang pemenang mingguan selepas mengumpul 84 mata.
Lebih manis, ia merupakan kemenangan sulung buat pengurus berusia 43 tahun itu selepas dua musim menceburkan diri pada Liga Fantasi Kosmo! sejak dianjurkan pada kempen 2021/22.
“Sudah tentu saya sangat gembira menjadi salah seorang pemenang bagi saingan minggu ke-10, lebih-lebih lagi ini adalah kali pertama saya menjadi pemenang mingguan sejak menyertai Liga Fantasi Kosmo! musim lalu.
“Sebelum ini saya sering menukar kapten pada setiap minggu, namun sekarang saya sedar Haaland adalah pilihan terbaik. Oleh itu, saya akan kekalkan Haaland sebagai kapten sehingga ke penghujung musim,” kata Fikri.
Perancangan jangka panjang buahkan hasil
KEPUTUSAN untuk merombak pasukan dengan menggunakan cip wildcard pada minggu sebelum ini memberi tuah buat pasukan PrinXe menjadi antara pasukan meraih mata tertinggi pada saingan minggu ke-10 Liga Fantasi Kosmo!
Pengurus pasukan, Muhamad Faiz mengakui perancangan jangka panjang membuahkan hasil selain keberanian meletakkan pemain-pemain yang kurang menjadi pilihan seperti Wilfried Zaha dan Lucas Paqueta.
“Saya telah menggunakan wildcard pada minggu sebelum ini dengan melihat pelan jangka panjang selepas melakukan analisa setiap pasukan dan minggu ini tuah memihak kepada saya.
“Saya ada pemain-pemain seperti Zaha serta Paqueta yang jarang diambil pengurus lain, manakala penyumbang mata tertinggi pula adalah Gabriel Martinelli dan Joao Cancelo.
“Misi saya selepas ini adalah untuk mencabar kejuaraan kerana kedudukan keseluruhan saya di tempat keenam selepas mengharungi 10 minggu perlawanan cukup positif tetapi harus diakui perjalanan masih panjang,” kata Muhammad Faiz.