fbpx

Ibu tunggal sebak terima diploma arwah anak tunggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusni (kiri) menunjukkan gambar Allahyarham Muhammad Ilyas selepas menerima diploma bagi pihak anak lelakinya itu pada Istiadat Konvokesyen UniSHAMS di Kuala Ketil, Baling, di sini hari ini.

BALING – Seorang ibu tunggal sebak apabila menerima diploma secara anumerta mewakili anak lelaki tunggal yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis pada 3 Ogos lalu akibat masalah kesihatan selepas terlibat kemalangan jalan raya.

Yusni Yasin, 48, dari Felda Chuping, Perlis menerima Diploma Seni Kulinari bagi pihak Allahyarham Muhammad Ilyas Md. Rani, 21, pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah (UniSHAMS) kali ke-24 di Kuala Ketil, di sini hari ini.

Menurut Yusni, anaknya meninggal dunia di HTF pada 3 Ogos lalu akibat pelbagai masalah kesihatan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jitra dekat sini, awal Mei lalu.

“Arwah sebelum ini memang menyimpan hasrat untuk hadir pada konvokesyen ini walaupun terlantar sakit.

“Setiap hari dia minta saya doakan supaya dia boleh hadir untuk menerima diploma walaupun dalam keadaan berkerusi roda, namun takdir Allah mengatasi segalanya apabila dia dijemput Ilahi sebelum sempat berbuat demikian,” katanya.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang merupakan Canselor UniSHAMS berkenan menyampaikan anugerah dan diploma tersebut.

Yusni berkata, kemalangan itu berlaku selepas kereta dinaiki anaknya bersama tiga lagi rakan terbabas ketika mengelak sebuah kenderaan yang cuba memotong dari laluan bertentangan tetapi tidak lepas.

“Mereka ketika itu dalam perjalanan ke rumah bekas guru mereka di Jitra.

“Akibat kemalangan itu, anak saya mengalami patah tulang belakang di bahagian tengkuk dan tidak boleh berjalan, manakala tiga lagi rakannya hanya cedera ringan,” ujarnya.

Katanya, meskipun masih bersedih dengan pemergian anaknya itu, namun dia terpaksa reda dan menerima hakikat bahawa anaknya itu hanya pinjaman daripada Allah.

“Saya terharu dan sebak kerana dapat menyempurnakan hasrat arwah untuk menerima diploma hari ini,” ujarnya.

Allahyarham Muhammad Ilyas merupakan seorang daripada 1,382 orang graduan UniSHAMS yang menerima diploma dan ijazah masing-masing membabitkan peringkat pengajian doktor falsafah, sarjana, sarjana muda, diploma pasca siswazah, diploma dan program asasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI